Skip to main content

Malaysia

FAM tuntut penjelasan FIFA isu tambahan masa

FAM mendesak jawapan daripada FIFA mengenai perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit. - Foto Sinar Harian
FAM mendesak jawapan daripada FIFA mengenai perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit. - Foto Sinar Harian

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menuntut penjelasan perubahan masa tambahan ketika saingan Piala ASEAN FIFA 2026 membabitkan Indonesia dan Bangladesh, malam tadi.

FAM memaklumkan pihaknya memandang serius situasi yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, apabila tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit, kemudian berubah kepada tujuh minit. 

“Sehubungan dengan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan ditetapkan,” menurut kenyataan di laman Facebook hari ini. 

FAM turut berpandangan perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan layak ke final. 

FAM turut menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

“FAM ingin menegaskan bahawa permohonan ini bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul,” menurut FAM. 

 

Semalam, Indonesia mendahului 7-2 sebelum Luke Vickery menjaringkan gol pada minit ke-90, diikuti Farhaan Ali Wahid merapatkan jurang buat Bangladesh pada minit ke-90+1.

 Indonesia kemudian menjaringkan satu lagi gol menerusi Kevin Dik pada minit ke-90+6 sebelum Mitchell Baker melengkapkan hatriknya dengan gol pada minit ke-90+7 untuk memastikan Indonesia menang 9-2.

BACA: Piala ASEAN FIFA: Perubahan masa tambahan 2 minit ke 7 minit jadi persoalan

Keputusan itu cukup untuk Indonesia mengatasi Malaysia dalam perebutan tempat ke final apabila kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata dan mempunyai perbezaan jaringan sama, namun tuan rumah memiliki jumlah jaringan lebih tinggi, iaitu 11 berbanding sembilan dihasilkan Harimau Malaya. 

Harimau Malaya membelasah Singapura 6-0 di Bandung menerusi hatrik Bergson Da Silva serta jaringan Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Muhamad Syahir Bashah.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak mencukupi apabila Indonesia menghasilkan dua gol pada penghujung perlawanan di Jakarta. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement