SHAH ALAM: Sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu semakin membimbangkan, dengan tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata keputusan itu dibuat dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta, petugas, sukarelawan serta kanak-kanak dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
“Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor telah berada pada tahap tidak sihat, sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan dalam keadaan semasa.
“Pendirian kerajaan negeri adalah jelas, keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Exco Pengurusan Bencana negeri berkata sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru, penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur yang terlibat hendaklah mengambil maklum penangguhan ini dan melaksanakan penyelarasan sewajarnya.
Orang ramai juga diminta merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penjadualan semula program.
“Kerajaan Negeri Selangor akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dan berpandukan nasihat pihak berkuasa berkaitan dalam menentukan langkah selanjutnya.
“Keputusan ini bukanlah bermaksud komitmen terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab untuk memastikan setiap inisiatif sukan dilaksanakan dalam keadaan yang selamat dan tidak mendedahkan rakyat kepada risiko kesihatan tidak sepatutnya,” katanya.
-- BERNAMA