KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempertimbangkan usaha membawa semula jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang ke dalam program Road to Gold (RTG).
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata pihaknya akan mengutus surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin minggu depan bagi menyampaikan hasrat untuk membolehkan pemenang pingat emas acara keirin lelaki Sukan Komanwel 2026 itu meneruskan usaha memburu satu lagi penampilan pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028).
“Setakat ini, saya telah bercakap dengannya (Mohd Azizulhasni) dan saya memaklumkan pendirian PKBM, kami memberikan sokongan sepenuhnya, namun saya fikir gambaran penuh ialah memastikan beliau mendapat sokongan ekosistem yang menyeluruh.
“Jika anda bertanya kepada saya, saya fikir jauh di sudut hatinya, beliau mahu pergi (ke Sukan Olimpik) tetapi beliau mahu pergi dengan syarat mendapat sokongan penuh. Saya berkata PKBM akan memberikan sokongan penuh kepada anda kerana pada akhirnya, persekutuanlah yang perlu mengemukakan nama beliau,” katanya di sini hari ini.
Mohd Azizulhasni baru-baru ini menamatkan penantian selama 16 tahun untuk menjadi juara Sukan Komanwel selepas memenangi pingat emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow, Scotland.
Pada Isnin lepas, bekas juara dunia keirin lelaki itu berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding pada LA 2028 perlu dimuktamadkan sebelum Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun yang akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Mohd Azizulhasni sebelum ini adalah antara atlet yang berada di bawah program RTG bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
RTG yang dilancarkan pada 2023 ialah program persediaan atlet elit bagi menyediakan sokongan tambahan kepada atlet untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 dan LA 2028.
Amarjit berkata keputusan mengenai masa depan Mohd Azizulhasni tidak seharusnya ditangguhkan sehingga selepas Sukan Asia kerana proses kelayakan ke Sukan Olimpik akan bermula pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China dari 14 hingga 18 Okt.
Sementara itu, Amarjit berkata persekutuan bersedia membenarkan Azizulhasni membuat keputusan sama ada mahu terus beraksi sebagai pelumba profesional secara bebas atau kembali menyertai skuad kebangsaan, sambil menegaskan keutamaan adalah memastikan perancangan yang paling sesuai untuk pemenang dua pingat Sukan Olimpik itu.
“Saya rasa biarlah kami melakukan apa yang beliau selesa. Saya fikir beliau bukan lagi atlet muda yang memerlukan pendekatan tertentu, sebaliknya beliau ialah seorang atlet yang sangat matang dan berpengalaman.
“Namun pada akhirnya dan apa jua caranya, ia mestilah memberi manfaat kepada beliau. Itu yang penting dan saya tidak akan bersikap terlalu tegas seperti mengatakan beliau mesti berada dalam pasukan kebangsaan atau tidak boleh menjadi pelumba bebas. Saya fleksibel mengenai perkara itu,” katanya.
Pada tahun lepas, pelumba kelahiran Terengganu berusia 38 tahun itu memutuskan untuk meneruskan kerjaya sukannya secara profesional sebagai pelumba bebas.
Terdahulu, Amarjit menghadiri majlis yang menyaksikan bekas Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan bekas Presiden PKBM Tan Sri Darshan Singh Gill dianugerahkan Darjah Kebesaran The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Kelas Kelima – Benjama Direkgunabhorn) oleh Kerajaan Thailand di sini.
Darjah kebesaran diraja yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej The Great, Rama IX itu telah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan ACC Jeneral Decha Hemkasri di bawah Naungan Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang serta khidmat sepanjang hayat Darshan dalam pembangunan sukan berbasikal di Malaysia, Asia dan peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA