Skip to main content

Sukan

Bilionair Australia, Andrew Forrest dakwa F1 layak berada di muzium

Andrew Forrest mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Formula Satu (F1) sebagai sukan yang lebih sesuai ditempatkan di muzium berbanding terus dianggap puncak teknologi perlumbaan moden. - Gambar fail/ Reuters
Andrew Forrest mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Formula Satu (F1) sebagai sukan yang lebih sesuai ditempatkan di muzium berbanding terus dianggap puncak teknologi perlumbaan moden. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Bilionair perlombongan Australia, Andrew Forrest mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Formula Satu (F1) sebagai sukan yang lebih sesuai ditempatkan di muzium berbanding terus dianggap puncak teknologi perlumbaan moden.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Fortescue itu mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika melancarkan pasukan baharu Formula E miliknya, Fortescue Zero Racing, di London pada Jumaat.

Forrest turut mencabar F1 untuk mengadakan perlumbaan secara bersemuka dengan Formula E bagi membuktikan keupayaan sebenar kedua-dua kategori perlumbaan itu.

Advertisement

"Saya fikir Formula Satu mempunyai tempatnya sendiri.

"Ia patut berada dalam sebuah bangunan besar yang diperbuat daripada batu kapur, dengan Formula Satu di bahagian hadapannya dan dijadikan muzium kerana generasi muda akan memilih perlumbaan paling berprestasi tinggi, paling maju dari segi teknologi dan paling mesra alam, iaitu Formula E," katanya.

Advertisement

Menurut Forrest, walaupun F1 masih sebuah siri perlumbaan hebat, era dominasinya semakin berakhir.

Jentera Gen4 lebih pantas

Formula E mendakwa, jentera Gen4 baharu yang bakal digunakan mulai musim 2026/27 mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa sekitar 1.8 saat dan mencapai 200 km/j dalam 4.2 saat.

Prestasi itu dikatakan kira-kira 30 peratus lebih pantas berbanding kereta F1.

Walaupun Formula E masih mempunyai jumlah penonton televisyen global yang jauh lebih kecil berbanding F1, penganjurnya percaya teknologi baharu itu mampu mengubah persepsi terhadap perlumbaan elektrik.

Fortescue Zero Racing menjadi pasukan Formula E pertama dimiliki syarikat Australia selepas mengambil alih Penske Autosport pada September tahun lalu.

Pasukan itu akan menggunakan rangkaian kuasa yang dibekalkan oleh juara Formula E, Jaguar, dengan dua pelumba Britain, Dan Ticktum dan Taylor Barnard.

Fortescue sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan dunia perlumbaan menerusi pengambilalihan Williams Advanced Engineering pada 2022 daripada bekas juara dunia Formula Satu, Williams.

Hubungan itu masih berterusan apabila bekas ketua pemasaran Williams, Jim Wright, kini menjadi ketua pasukan Fortescue Zero Racing, manakala bekas bos Williams, Claire Williams, dilantik sebagai duta syarikat berkenaan.

"Mari uji siapa lebih hebat"

Walaupun mempunyai hubungan rapat dengan F1, Forrest tidak berselindung dalam kritikannya terhadap perlumbaan tersebut.

"Saya mahu melihat Formula Satu berlumba secara terus dengan Formula E.

"Kemudian saya mahu bertanya, berapa dekad yang mereka perlukan untuk mencapai tahap ini dan berapa bulan yang kami perlukan untuk melakukannya. Mari kita lihat keputusannya.

"Apa yang saya tahu ialah kami melakukan dalam tempoh beberapa bulan dan tahun apa yang Formula Satu ambil masa berdekad-dekad untuk capai. Jika kami mampu menghampiri pencapaian mereka sekalipun, permainan sudah tamat.

"Sahut cabaran ini. Formula Satu lawan Formula E. Mari kita buktikannya," katanya.

Evolusi perlumbaan mesra alam

Kejuaraan Formula Satu bermula pada 1950, manakala Formula E diperkenalkan pada 2014 sebagai platform perlumbaan khas untuk jentera elektrik.

Pada musim-musim awal Formula E, pelumba perlu menukar kereta di pertengahan perlumbaan kerana kapasiti bateri yang terhad.

Namun teknologi bateri kini berkembang pesat dan menjadi faktor utama keyakinan Formula E bahawa ia mampu menyaingi F1 dari segi prestasi.

Walaupun begitu, Formula Satu juga giat mengurangkan impak karbonnya. F1 kini menggunakan bahan api mampan sepenuhnya dan melaporkan pengurangan jejak karbon sebanyak 35 peratus berbanding paras asas 2018.

Siri perlumbaan itu turut menegaskan ia masih berada di landasan untuk mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2030. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement