Skip to main content

Sukan

Demi Malaysia, New Joe tekad lawan kesakitan untuk ke Sukan Asia

Lau New Joe_FB Lau New Joe
Pelumba berusia 21 tahun itu berkata pakar perubatan memberikan peluang “50-50” untuk kembali beraksi. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

SEPANG: “Perkara pertama yang saya tanya pada doktor selepas tiba di hospital bukan tentang kesakitan yang saya alami tetapi sama ada saya boleh beraksi di Sukan Asia pada bulan depan ataupun tidak.”

Demikian kata pelumba berbasikal trek negara, Lau New Joe yang tetap mengutamakan perjuangan demi negara meskipun baru mengharungi detik cemas dalam kemalangan ngeri pada saingan akhir acara scratch 10 kilometer (km) lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026, Sabtu lepas

New Joe, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika menceritakan keazaman beliau untuk segera pulih bagi menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan depan. 

Pelumba berusia 21 tahun itu berkata pakar perubatan memberikan peluang “50-50” untuk kembali beraksi, namun beliau bertekad memberikan yang terbaik sepanjang proses pemulihan.

"Tengok proses pemulihan nanti macam mana dan saya akan cuba yang terbaik untuk kembali. Kalau boleh saya hendak juga (ke Sukan Asia) sebab bukan saya seorang yang bekerja keras untuk ini, ada banyak orang yang membantu saya, jurulatih dan semua  staf. 

“Saya juga mewakili seluruh pasukan saya. Jadi, ini bukan tanggungjawab untuk diri sendiri, macam mana sekalipun saya kena buat yang terbaik untuk Malaysia,” katanya. 

Mengimbas kembali insiden di Velodrom Sir Chris Hoy itu, New Joe berkata beliau tidak sedarkan diri sebaik sahaja terjatuh dan hanya tersedar ketika berada dalam ambulans.

"Saya cedera di badan, lutut dan paling teruk muka iaitu patah rahang atas. Dalam situasi ini memang mudah untuk jadi negatif, mula persoalkan ‘kenapa saya’ dan sebagainya. Tapi saya cuba yang terbaik untuk kekal positif," katanya. 

Dalam aksi final Sabtu lepas, New Joe terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan pengusung dan direkodkan sebagai tidak menamatkan perlumbaan (DNF) selepas terbabit kemalangan ketika kelompok pelumba mula memecut menuju garisan penamat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement