Skip to main content

Sukan

Horner belum pasti kembali ke F1, nafi spekulasi sertai Ferrari

Horner menyifatkan pemecatannya daripada Red Bull, beberapa hari selepas perlumbaan di Silverstone, sebagai sesuatu yang "kejam". - AP
Horner menyifatkan pemecatannya daripada Red Bull, beberapa hari selepas perlumbaan di Silverstone, sebagai sesuatu yang "kejam". - AP

Advertisement

LONDON: Bekas ketua pasukan Red Bull, Christian Horner sekali lagi meredakan spekulasi yang mengaitkannya dengan Ferrari, sambil menyatakan beliau boleh menerima hakikat sekiranya tidak kembali ke Formula Satu (F1), lapor PA Media/dpa.

Horner, 52, memulakan siri jelajah bagi mempromosikan buku baharunya bertajuk Drive di Barbican, York.

Beliau mengimbas keseluruhan kerjayanya dalam F1, bermula dengan kemasukan Red Bull ke sukan itu sehinggalah pemecatannya yang mencetuskan kontroversi selepas Grand Prix Britain pada 2025.

Bagaimanapun, sepanjang acara selama dua jam itu, tiada langsung sebarang sebutan mengenai dakwaan yang dihadapi Horner ketika penghujung kerjayanya bersama pasukan berkenaan.

Sesi soal jawab bersama penonton yang dijadualkan pula dikendalikan oleh pengacara menerusi soalan yang dihantar menggunakan kod QR.

Keputusan Red Bull memecat Horner dibuat setahun setengah selepas beliau dituduh melakukan "tingkah laku tidak wajar" oleh seorang rakan sekerja wanita.

Horner sentiasa menafikan dakwaan itu dan dibebaskan buat kali kedua daripada dakwaan berkaitan tingkah laku mengawal oleh seorang peguam kanan bebas yang bergelar King's Counsel (KC).

Perkara itu turut disentuh dalam bukunya menerusi bab bertajuk "Out Come the Wolves".

Pemecatan Horner menamatkan kerjayanya selama 20 tahun bersama Red Bull, yang menyaksikan pasukan itu meraih lapan gelaran juara dunia pemandu dan enam gelaran juara dunia pengeluar.

Sejak itu, beliau terus dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke sukan berkenaan.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Horner menyifatkan Ferrari sebagai jenama terbesar dalam F1, sekali gus mencetuskan semula spekulasi mengenai kemungkinan beliau menyertai pasukan gergasi Itali itu, namun beliau sekali lagi menafikannya.

"Saya berkata, 'Ferrari mempunyai aura tersendiri. Ia satu penghormatan bagi seseorang pemandu, jurutera dan sebagainya. Ia menjadi impian ramai pemandu.' Saya tidak pernah mengatakan bahawa itu impian saya!" kata Horner.

"Tetapi kemudian timbul laporan yang mengatakan Ferrari ialah pekerjaan impian saya. Saya bersimpati dengan Fred (Vasseur, ketua pasukan Ferrari) kerana tiba-tiba beliau berdepan tekanan yang hebat."

Horner turut berkongsi kisah bagaimana beliau berjaya memujuk pakar reka bentuk Adrian Newey menyertai Red Bull, hubungannya dengan dua juara dunia, Sebastian Vettel dan Max Verstappen, serta perubahan dalam struktur organisasi pasukan itu selepas kematian pengasas bersama Red Bull, Dietrich Mateschitz pada 2022.

Beliau menyifatkan pemecatannya daripada Red Bull, beberapa hari selepas perlumbaan di Silverstone, sebagai sesuatu yang "kejam".

Apabila persoalan mengenai masa depannya dibangkitkan sekali lagi, Horner membayangkan bahawa kepulangannya ke F1 belum dapat dipastikan.

"Apa yang paling mengujakan saya ialah apakah bab seterusnya dalam kehidupan saya dan sejujurnya, saya sendiri tidak tahu," katanya.

"Jika perjalanan saya dalam Formula Satu sudah berakhir, saya telah melalui pengalaman yang luar biasa dan saya rasa pencapaian saya agak baik. Jika ada peluang yang sesuai untuk kembali, saya akan kembali. Tetapi saya sudah boleh menerima hakikat sekiranya peluang itu tidak muncul. Saya tidak semestinya perlu kembali."

Red Bull menggunakan unit kuasa sendiri buat kali pertama musim ini, hasil projek selama lima tahun yang dimulakan pada 2021 dan diselia Horner sehingga pemergiannya.

Verstappen memenangi dua perlumbaan terakhir di Malaysia dan Singapura, sekali gus menghadiahkan kejayaan pertama projek itu di litar. Horner turut melahirkan rasa bangga melihat enjin berkenaan akhirnya membuahkan hasil.

"Melihat enjin itu mula berfungsi, memberikan prestasi yang baik dan terbukti boleh diharap... sebelum ini ada yang menyangka projek itu hanya akan menjadi bahan jenaka," katanya.

"Melihat kejayaan menaiki podium dan kemudian kemenangan dalam tempoh dua minggu lalu, dengan kemenangan Grand Prix dicapai pada perlumbaan ke-16, saya berasa amat bangga. Kedua-dua pemegang saham menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement