MEXICO CITY: George Russell mengakui musim Formula Satu 2026 bukan miliknya apabila mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan Mercedes, Kimi Antonelli yang mencipta sejarah sebagai juara dunia termuda Formula Satu.
Pelumba Britain itu berkata kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada Isnin dibuat "dari hati" selepas melalui musim yang penuh kekecewaan dan nasib malang.
Russell dikecualikan daripada tugasan media selepas Grand Prix Mexico City pada Ahad, dengan ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menyifatkan beliau sebagai "amat kecewa" susulan perlumbaan yang tidak menjadi.
Russell yang memulakan perlumbaan di barisan hadapan bermula baik sebelum jentera dipandunya tiba-tiba kehilangan prestasi, menyebabkan beliau tercicir beberapa kedudukan sebelum menamatkan saingan di tempat keenam.
Wolff turut mengakui pasukan telah mengecewakan pelumba berusia 28 tahun itu.
"Musim ini bermula tepat seperti yang saya impikan, namun semuanya berubah dengan cepat akibat nasib yang tidak menyebelahi saya dan prestasi yang kurang memuaskan.
"Ini adalah musim pertama dalam karier saya di mana hari-hari yang buruk lebih banyak daripada hari yang baik. Adakah ia sukar untuk dihadapi? Ya, sangat sukar. Adakah sukar untuk terus bangkit setiap minggu? Ya, sangat sukar," kata Russell.
Beliau turut mengakui sering berdepan kekeliruan sepanjang musim ini tetapi tetap memberikan segala yang termampu.
"Apa yang saya tahu, saya sudah memberikan yang terbaik dan 2026 sememangnya bukan tahun saya."
Russell memulakan musim sebagai antara calon pilihan untuk menjuarai kejuaraan dunia, selain memiliki pengalaman lebih luas berbanding Antonelli, 20, yang hanya menjalani musim kedua dalam Formula Satu.
Bagaimanapun, Antonelli membuktikan kematangannya apabila memenangi sembilan perlumbaan berbanding tiga kemenangan Russell, sekali gus merangkul kejuaraan dunia dengan baki empat pusingan lagi.
Kejayaan itu turut menjadikan Antonelli juara dunia Formula Satu pertama dari Itali dalam tempoh 73 tahun.
Russell berkata, Antonelli layak sepenuhnya untuk menjulang gelaran dunia musim ini.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dengan ikhlas kepada Kimi atas musim yang luar biasa. Anda benar-benar layak bergelar juara dunia.
"Apa yang boleh saya janjikan ialah saya akan terus memberikan segala-galanya untuk baki musim ini dan musim depan bagi mengembalikan prestasi yang saya mampu pamerkan sepanjang karier saya. Semoga sedikit tuah kembali memihak kepada saya," katanya.