Ringkasan AI
- Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 di separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia badminton berpasukan campuran di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir.
- Kemenangan ini menamatkan penantian sembilan tahun Malaysia untuk mara ke final, kali terakhir dicapai pada edisi 2017 di Yogyakarta.
- Malaysia akan menentang China pada aksi final yang dijadualkan berlangsung hari ini.
PETALING JAYA: Malaysia menamatkan penantian sembilan tahun untuk kembali beraksi di pentas final acara badminton berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia selepas menundukkan juara dua kali Indonesia 2-0 pada separuh akhir di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, malam tadi.
Berdepan dengan naib juara edisi lepas, skuad negara terpaksa bekerja keras mengekang tentangan sengit Indonesia sebelum memastikan kemenangan 55-49, 55-42 menerusi format relay 55 mata, sekali gus mara ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2017.
Perseorangan lelaki Tiew Wei Jie tewas 6-11 kepada Fardhan Rainanda, namun beregu wanita Genevie Lim-Low Zi Yu kembali mengimbangi kedudukan menerusi kemenangan 22-17 ke atas Atresia Naufa-Aurelia Syakira.
Indonesia kemudian kembali di depan menerusi Jolin Angelia yang menewaskan Carine Tee 33-32 dalam aksi sengit perseorangan wanita.
Beregu campuran Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Zi Yu meletakkan Malaysia kembali di hadapan selepas mencatat kemenangan 44-43 ke atas Moses Andar-Reya Azzahra, sebelum beregu lelaki negara Damien Ling-Irfan Shazmir mengesahkan kemenangan selepas mengecewakan Faizal Pangetsu-Anju Siahaan 55-49 untuk memenangi perlawanan pertama.
Malaysia meneruskan momentum pada perlawanan kedua dengan Wei Jie bangkit menewaskan Fardhan 11-7, sebelum gandingan Genevie-Low Zi Yu melebarkan kelebihan kepada 22-11.
Indonesia kembali merapatkan jurang kepada 33-28 menerusi perseorangan wanita, namun Ahmad Redzuan-Zi Yu terus meningkatkan jurang dengan 44-37.
Ahmad Redzuan kemudian bergandingan dengan Isyraf Hafizin Ibrahim dalam beregu lelaki untuk melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi kejayaan 55-42 ke atas Faizal-Anju, sekali gus memuktamadkan kemenangan kem Malaysia.
Kali terakhir Malaysia mara ke final acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia adalah pada edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia.
Malaysia berdepan China pada aksi final hari ini.
-- BERNAMA