SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berdepan beberapa kekangan untuk menjadi venue alternatif Grand Prix (GP) Qatar sekiranya diminta menggantikan pusingan berkenaan dalam kalendar MotoGP musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata sebarang keputusan untuk menerima penganjuran perlumbaan yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail dari 6 hingga 8 Nov ini perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk kos, ketersediaan litar, kelulusan kerajaan Malaysia serta persetujuan pemegang hak perlumbaan.
Beliau berkata perkara itu ketika ini masih bersifat spekulasi dan SIC belum menerima sebarang permintaan atau mengadakan perbincangan rasmi dengan penganjur MotoGP mahupun Dorna Sports, yang kini dikenali sebagai MotoGP Sports Entertainment Group, selaku pemegang hak komersial MotoGP berhubung kemungkinan menggantikan perlumbaan berkenaan.
“Kita perlu lihat dahulu dari segi kos (perbelanjaan). Jika mahu menganjurkan satu lagi perlumbaan, pihak mana yang akan menanggung kos berkenaan? Keduanya, kita juga perlu melihat kekosongan dalam kalendar kerana selepas berakhirnya MotoGP (Malaysia 2026), litar akan sibuk dengan tempahan yang telah ditetapkan.
“Paling utama, keputusan ini semestinya memerlukan kelulusan dan persetujuan kerajaan Malaysia. Jadi, keputusan muktamad bukan terletak pada SIC semata-mata, sebaliknya perlu dipersetujui bersama antara negara ini dan pemegang hak perlumbaan,” katanya.
Azhan Shafriman berkata demikian pada sidang media kawalan trafik dan taklimat keselamatan menjelang MotoGP Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini di SIC, di sini, hari ini.
Beliau berkata tarikh GP Qatar minggu depan turut bertembung dengan pusingan kelima China GT 2026 yang berlangsung di SIC, sekali gus menyukarkan sebarang perubahan dibuat pada saat akhir.
Menurutnya, faktor logistik turut menjadi kekangan memandangkan kargo yang membawa peralatan bagi penganjuran China GT kini dalam perjalanan ke Sepang.
Sebelum ini, pelumba MotoGP dilaporkan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidaktentuan di Timur Tengah menjelang GP Qatar minggu depan.
GP Qatar yang pada asalnya dijadual berlangsung dari 10 hingga 12 April lepas ditangguhkan ke 6 hingga 8 Nov susulan situasi geopolitik di Asia Barat.
-- BERNAMA