Skip to main content

Sukan

Pintu belum tertutup buat Ronaldo bersama Portugal - Jesus

Masa depan Ronaldo bersama Portugal menjadi tanda tanya selepas beliau meninggalkan kem latihan pasukan pada Rabu susulan perselisihan mengenai statusnya dalam kesebelasan utama. - Gambar fail/ Stadium Astro
Masa depan Ronaldo bersama Portugal menjadi tanda tanya selepas beliau meninggalkan kem latihan pasukan pada Rabu susulan perselisihan mengenai statusnya dalam kesebelasan utama. - Gambar fail/ Stadium Astro

Advertisement

LISBON: Cristiano Ronaldo masih berpeluang kembali menyertai skuad Portugal sekiranya beliau mahu berbuat demikian, kata jurulatih kebangsaan Jorge Jesus, walaupun bintang berusia 41 tahun itu meninggalkan kem pasukan di tengah-tengah kontroversi pemilihannya.

Portugal membuktikan mereka masih mampu bersaing tanpa bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu apabila muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA 2026-27 selepas menewaskan Norway 2-1.

Goncalo Ramos muncul wira Portugal apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86. Sebelum itu, jaringan Joao Cancelo menyamakan kedudukan selepas Norway mendahului menerusi rembatan jarak jauh Kristoffer Ajer.

Selepas perlawanan, Jesus berkata beliau bersedia memanggil semula Ronaldo ke skuad kebangsaan, namun menegaskan keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada pemain tersebut.

“Bagi saya, Cris, jika dia terus beraksi bersama Al-Nassr, dia tetap seorang pemain yang boleh dipanggil. Jika dia mahu, dia akan kembali ke pasukan kebangsaan,” katanya kepada media.

Jesus turut memaklumkan beliau bersedia berbincang dengan Ronaldo menjelang aksi antarabangsa seterusnya pada November nanti.

“Jika dia mahu, seperti sebelum kem latihan kali ini, kami boleh berbincang semula sebelum pemilihan seterusnya. Tetapi Cris yang akan membuat keputusan,” katanya.

Masa depan Ronaldo bersama Portugal menjadi tanda tanya selepas beliau meninggalkan kem latihan pasukan pada Rabu susulan perselisihan mengenai statusnya dalam kesebelasan utama.

Penjaring terbanyak dan pemain paling banyak beraksi untuk Portugal itu digantikan dalam perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara menentang Wales pada 24 September sebelum hanya memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan 2-1 ke atas Norway pada 27 September.

Menurut laporan, selepas dimaklumkan beliau sekali lagi akan memulakan perlawanan dari bangku simpanan ketika bertemu Denmark, Ronaldo mengambil penerbangan peribadi pulang ke Arab Saudi.

Portugal kemudian mencatat kemenangan 4-2 ke atas Denmark pada Khamis, namun tindakan Ronaldo meninggalkan kem latihan terus mencetuskan perdebatan hangat di Portugal mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan.

Rakan sepasukannya, Bruno Fernandes, tampil mempertahankan Ronaldo dalam sidang media pada Sabtu, sambil menyeru penyokong agar tidak memecah-belahkan pasukan.

“Beliau mempunyai tempat istimewa bukan sahaja sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman, malah di hati rakyat Portugal. Perkara paling penting ialah kita berhenti memecah-belahkan keadaan,” kata Fernandes.

“Tiada perpecahan dalam pasukan kebangsaan. Ia akan terus kekal sebagai satu pasukan walau apa juga bunyi bising dari luar.

“Apa yang saya minta ialah supaya rakyat tidak berpecah, tidak membuat pilihan pihak. Hormati semua pihak, tetapi pada masa sama Cris adalah dan akan terus menjadi ikon terbesar pasukan kebangsaan kami. Beliau berhak mendapat penghormatan semua orang, sama ada mereka menyukainya atau tidak.”

Sebelum perlawanan menentang Norway, Jesus turut menyifatkan Ronaldo sebagai “simbol Portugal.”

Jurulatih berusia 72 tahun itu berkata, beliau sudah menjelaskan kepada Ronaldo bahawa kehadirannya masih diperlukan dalam pasukan, terutama pada awal pemerintahannya selepas mengambil alih tugas daripada Roberto Martinez susulan Piala Dunia 2026.

“Cristiano harus menamatkan kariernya bersama pasukan kebangsaan mengikut cara yang dia mahukan. Dialah yang akan menentukan bagaimana pengakhirannya,” kata Jesus.

“Itulah yang kami bincangkan. Saya beritahu kepadanya, ‘Saya perlukan awak’. Dalam senarai pertama saya, saya katakan saya perlukan dia berada dekat dengan pasukan, sama ada bermain atau tidak. Dan saya masih berkata perkara yang sama sekarang.”

Ronaldo, yang membuat penampilan sulung bersama Portugal pada usia 18 tahun pada 2003, sebelum ini membayangkan musim ini berkemungkinan menjadi tahun terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Sepanjang lebih dua dekad bersama skuad kebangsaan, beliau telah beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.

Portugal dijadual menentang Denmark pada 14 November sebelum melengkapkan kempen peringkat kumpulan Liga Negara-Negara dengan aksi menentang Wales pada 17 November.

Sementara itu, seteru lamanya dalam perebutan status pemain terbaik dunia, Lionel Messi, dijadualkan membuat penampilan terakhir bersama Argentina dalam aksi persahabatan menentang Benin di Buenos Aires pada Selasa. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement