ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz menyifatkan pencapaian luar biasa 109 perlawanan tanpa kalah adalah hasil pembangunan, pelaburan dan keyakinan yang berterusan terhadap projek kelab selama 12 tahun.
Munoz, yang memasuki musim kedua bersama Harimau Selatan berkata pencapaian itu bukan sesuatu yang boleh diraih sekelip mata, sebaliknya transformasi kelab sepanjang 12 tahun lepas telah meletakkan asas bagi kejayaan ketika ini.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata pelaburan kelab dalam kemudahan serta komitmen jangka panjangnya telah membolehkan JDT mencapai tahap tertinggi dan mencipta sejarah dalam bola sepak.
"Pertama sekali, apa yang ada dalam fikiran saya ialah betapa sukarnya untuk mencapai tahap ini. Saya teringat kira-kira 12 tahun lepas ketika bos (Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail) mengambil alih kelab ini, bagaimana baginda mahu memperbaiki kelab, membangunkan semua sukan di Johor dan bagaimana akhirnya kita dapat mencapai malam bersejarah ini.
"Bos, terima kasih atas apa yang anda lakukan kerana ia sesuatu yang istimewa. Apa yang baginda lakukan untuk semua keluarga JDT membolehkan kami menikmati projek seperti ini," katanya pada sidang media selepas JDT menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Mengenai kemenangan 3-0 ke atas Kuching City, Munoz mengakui perlawanan itu berlangsung sengit, terutama apabila JDT hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama sebelum berjaya menambah dua lagi gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua.
Beliau berkata Kuching City merupakan pasukan yang mantap dengan barisan pertahanan dan gerakan tersusun, manakala JDT masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki ketika pasukan itu terus mendapatkan rentak selepas persiapan pramusim.
Munoz berkata JDT pada masa sama perlu meningkatkan keupayaan mengawal fasa-fasa penting perlawanan, khususnya ketika kehilangan penguasaan bola.
"Bagi tempoh 20 hingga 25 minit pertama, kami mengawal permainan, selepas itu kami kehilangan kawalan tersebut selama kira-kira 10 minit dan perkara inilah yang perlu kami uruskan dengan lebih baik.
"Kita tidak boleh hilang penguasaan bola terlalu lama, sebab itu kami akan menguruskan situasi seperti ini. Ini antara aspek permainan yang perlu kami perbaiki supaya pemain lebih yakin dan dapat mengubah keadaan apabila lawan menguasai permainan," katanya.
Sementara itu, Munoz berkata kehadiran empat pemain tempatan dalam kesebelasan utama penting dalam meningkatkan standard Liga Malaysia (Liga M), selain membuka peluang kepada pemain muda negara.
Mengulas perancangan akan datang, beliau berkata JDT akan memberi tumpuan kepada pemulihan sebelum membuat persiapan menghadapi perlawanan Liga Super menentang Kelantan 26 Ogos, diikuti Star City FC (Imigresen) pada Ahad.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak menyifatkan kekalahan 0-3 pasukannya kepada JDT sebagai pengajaran berharga, meskipun berpuas hati dengan persembahan pemain dalam aksi berintensiti tinggi itu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada JDT atas kemenangan itu, beliau berkata Kuching City sedar perlawanan berkenaan cukup sukar, terutama dengan beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan atau kurang cergas sepenuhnya selepas tidak dapat menyertai persiapan pramusim.
Aidil Sharin berkata pasukan itu telah meneliti kesilapan yang dilakukan sepanjang perlawanan dan akan berusaha memperbaikinya, sambil menambah bahawa persiapan Kuching City terjejas akibat isu pengubahsuaian stadium serta kekurangan perlawanan berintensiti tinggi.
Beliau berkata tumpuannya kini kepada aksi menentang Kuala Lumpur dan Kelantan yang berlangsung di gelanggang lawan, selain akan memperkukuh benteng pertahanan selepas menurunkan tiga pemain import di posisi itu pada babak pertama ketika menentang JDT dalam usaha untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.
-- BERNAMA