ISLAMABAD: Sebuah robot humanoid buatan China yang dinamakan “Lightning” telah mencatatkan rekod baharu larian pecut 100 meter dengan masa 9.32 saat dalam satu ujian menjelang Sukan Robot Humanoid Dunia kedua, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik CGTN pada Sabtu.
Catatan masa itu sekali gus mengatasi rekod dunia milik pelari pecut legenda Jamaica, Usain Bolt, iaitu 9.58 saat.
Menurut pembuat peranti pintar dari China, Honor, robot berkenaan mencatatkan kelajuan tertinggi 14.5 meter sesaat, membuktikan keupayaan larian berkelajuan tinggi menjelang pertandingan lima hari yang bakal berlangsung di Beijing.
Lightning dijadualkan bertanding dalam acara 100 meter, 400 meter dan 1,500 meter pada kejohanan itu yang berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos.
Acara berkenaan bakal menampilkan pelbagai robot humanoid yang bertanding dalam pelbagai jenis sukan, termasuk lompat jauh, angkat berat dan tenis meja, menyaksikan pasukan dari seluruh dunia mempamerkan kemajuan dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Rekod 9.58 saat milik Bolt yang dicatatkan pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin kekal sebagai rekod dunia manusia rasmi yang diiktiraf oleh World Athletics. Justeru, catatan masa robot berkenaan tidak boleh dibandingkan secara langsung sebagai rekod dunia olahraga di bawah peraturan sukan manusia.
-- BERNAMA-ANADOLU