KUALA LUMPUR: Peluang jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk kembali menyertai program Road To Gold (RTG) akan diteliti selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata tempoh berkenaan merupakan fasa yang ditetapkan bagi menilai semula barisan atlet dalam program itu, termasuk proses penerimaan atlet baharu atau pengguguran mereka yang tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan.
Beliau berkata perkara itu akan menjadi antara agenda dalam mesyuarat RTG selepas temasya berkenaan yang turut berfungsi sebagai post-mortem terhadap prestasi dan pencapaian atlet sepanjang musim ini.
“Seperti saya katakan, proses (disenaraikan dalam RTG) ini adalah proses yang berfasa dan ada struktur serta kriterianya. Saya lebih kepada pentadbir kepada peraturan dan proses tersebut.
“Sekiranya semua (kriteria) dicapai oleh Datuk Azizul sendiri, secara peribadi saya berharap beliau akan diterima semula dalam Road To Gold mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Trofi Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei 2026 di Petaling Jaya, semalam.
Stuart berkata mesyuarat berkenaan bukan sahaja menjadi medan untuk menilai prestasi dan pencapaian atlet sepanjang musim ini, malah turut membincangkan perancangan bagi tahun hadapan.
“Tahun hadapan adalah tahun yang amat penting untuk semua, tahun kelayakan Olimpik bagi kebanyakan sukan. Jadi kami harap perkara yang mungkin lebih sensitif dan perlu diteliti secara mendalam, kita boleh bincang dalam mesyuarat tersebut,” katanya.
Beliau pada masa sama memberi jaminan Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman akan terus menerima sokongan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sementara menunggu keputusan berhubung RTG.
Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dilaporkan akan mengemukakan permohonan rasmi kepada KBS dan MSN supaya Azizulhasni dipertimbangkan untuk kembali menyertai RTG menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu yang sebelum ini berada dalam RTG bagi menghadapi Paris 2024, memutuskan untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelumba profesional tahun lepas.
Bekas juara dunia berusia 38 tahun itu terus mencuri tumpuan apabila menamatkan penantian 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas memenangi emas keirin lelaki pada edisi Glasgow 2026, awal bulan ini.
-- BERNAMA