NORTH CAROLINA: Legenda golf Fiji, Vijay Singh, menamatkan kemarau kejuaraan lebih tiga tahun apabila menjuarai SAS Championship pada Ahad.
Pemain berusia 63 tahun itu mencatat pusingan ketiga berturut-turut 69 pukulan atau tiga di bawah par untuk menamatkan saingan dengan jumlah keseluruhan sembilan di bawah par 207.
Kemenangan itu menjadikan Singh sebagai antara pemain tertua yang pernah memenangi kejohanan dalam siri PGA Tour Champions.
Bekas juara tiga kejohanan major itu menewaskan pemain Afrika Selatan, Ernie Els, dengan kelebihan dua pukulan selepas pencabarnya itu turut mencatat 69 pukulan pada pusingan terakhir untuk mengakhiri kejohanan dengan tujuh di bawah par.
Juara bertahan dari Jerman, Alex Cejka, dan Tag Ridings berkongsi tempat ketiga dengan catatan enam di bawah par.
Selepas berkongsi pendahuluan pada penghujung pusingan kedua, Singh mengambil alih kedudukan teratas menerusi birdie di lubang ke-10 sebelum menjarakkan kedudukan dengan satu lagi birdie di lubang ke-12.
Walaupun berdepan cuaca sejuk dan berangin, beliau berjaya mengekalkan rentak permainan sehingga tamat saingan untuk meraih gelaran keenamnya dalam siri PGA Tour Champions.
"Saya gembira dengan kemenangan ini. Harap ia memberi keyakinan untuk beberapa kejohanan akan datang dan musim depan," kata Singh.
Beliau mengakui kembali memberi tumpuan kepada latihan sejak kebelakangan ini selepas tidak menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim 2026.
Kejayaan itu merupakan gelaran pertamanya sejak menjuarai Ally Challenge pada Ogos 2023.