Sebenarnya, pasukan itu dikira terkeluar daripada saingan elit Asia itu kerana gagal melaporkan diri menjelang perlawanan berkenaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan semalam berkata pasukan itu "dianggap telah menarik diri" selepas "kelab itu mengesahkan tidak berhasrat untuk melaporkan diri" bagi pertembungan dengan Ulsan walaupun sudah berada di Korea Selatan menjelang waktu perlawanan.
Shandong dalam satu kenyataan berkata mereka tidak dapat menghadiri perlawanan itu kerana ketidakselesaan fizikal pemain.
Ia mencetuskan persoalan memandangkan alasan itu sukar diterima akal, lebih-lebih lagi mereka sedang berada di laluan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan 16.
Meninjau media-media antarabangsa, terdapat beberapa teori mengenai keputusan drastik yang diambil Shandong itu.
ESPN Asia mengaitkan teori mendakwa penduduk tempatan mengepung hotel tempat Shandong menginap dan membuat demonstrasi yang bersifat politik.
SNE Sports Co pula mengaitkan penarikan diri itu dengan perlawanan Shandong sebelum ini -- menentang satu lagi pasukan Korea Selatan, Gwangju FC -- di mana penyokong China yang hadir di stadium mereka didakwa mempamerkan gambar individu tertentu, termasuk bekas presiden Korea Selatan, Chun Doo-hwan, dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Apapun yang berlaku, diharapkan penarikan diri pasukan itu tidak mengganggu perjalanan ACLE, terutama membabitkan wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang menamatkan saingan Liga Bahagian Timur di tempat ketiga dengan 14 mata daripada tujuh perlawanan. -- Stadium Astro
