Pengarah Kejohanan T-Fight Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata atlet muay thai negara yang lebih dikenali Aliff Rakib berusia 21 tahun itu baharu sahaja memenangi kejohanan berkenaan minggu lepas dan akan mengadakan sesi temu mesra bersama peminat pada pukul 6 petang.
"Kita juga akan sajikan elemen kejutan kepada penonton apabila bersama dengan Aliff Rakib pada sebelah malam pula...pukul berapa kita tidak boleh beritahu lagi, nak tahu kena datang dulu.
"Kita memilih dia (Aliff Rakib) sebab telah capai tahap tinggi sehingga memenangi beberapa kejohanan dunia dan kita mahu pelapis muay thai menjadikan dia sebagai contoh dan teladan yang baik dalam sukan ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Tunjong di sini semalam.
Pada aksi One Fight Night di Bangkok, Thailand pada Sabtu lepas, Aliff Rakib hanya memerlukan 70 saat untuk menewaskan wakil Rusia Shamil Adukhov dengan keputusan knockout (KO), sekali gus melebarkan rekod kemenangan 7-2 dalam sembilan perlawanan sejak bersaing di bawah ONE Championship.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul Hafiz berkata pada edisi kelima Kejohanan Muay Thai T-Fight 2025, seramai 100 atlet amatur bakal berentap bermula 9 pagi hingga 6.30 petang, membabitkan 50 regu daripada lebih 60 kelab.
Manakala, bagi kategori profesional pula, lapan regu terdiri daripada 16 peserta dari zon tengah, timur, utara dan Borneo akan bertarung dari 8.30 malam hingga 11.50 malam bagi merebut gelaran King of Super IV.
Orang ramai yang berminat menyaksikan aksi pertarungan muay thai bagi kategori amatur dibenarkan masuk secara percuma, manakala bagi kategori profesional, boleh mendapatkan tiket di kaunter yang disediakan di lokasi acara dengan harga RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 untuk dewasa.
-- BERNAMA
