Muhammad Shah Firdaus, 29, bagaimanapun mengakui perubahan itu sedikit mengganggu kayuhan kerana menjadikan basikal lebih ringan dan memaksanya lebih bergantung pada kaki kiri berbanding kaki kanan akibat kecederaan lutut yang masih belum pulih sepenuhnya.
Beliau turut mengakui bergantung pada kaki kiri mempunyai risiko tersendiri kerana penggunaan berlebihan boleh meningkatkan kemungkinan kecederaan terutamanya selepas pernah mengalami kecederaan pada kaki itu sebelum ini.
"(Kecederaan) itu memang sangat mengganggu sebab sebelum ini saya guna gear besar, jadi bila tiada kecederaan kita boleh kayuh sepanjang perlumbaan tapi sekarang bila gear kecil pasti ringan sikit. Jadi bila nak buat pecutan ia akan merencatkan saya punya kayuhan.
"Bila kaki kanan saya naik dulu, saya tak boleh kayuh, jadi kena tunggu sampai kaki kiri naik baru boleh mula kayuh. Untuk acara pecut, lawan tidak kisah kau pakai kaki kiri atau kanan, bila dia nak pecut dia pecut. Saya faham itu adalah semula jadi (berbasikal)," katanya ketika ditemui di venue rasmi kejohanan di sini.
Muhammad Shah Firdaus menegaskan perbincangan bersama pasukan selepas sesi latihan memainkan peranan penting dalam persediaannya kerana melalui pertukaran pendapat, beliau dapat membuat pemilihan gear basikal lebih tepat bagi memastikan prestasi terbaik di hadapan penyokong tanah air.
Beliau turut mengakui pasukan Jepun menjadi antara pencabar utama yang perlu diberi perhatian memandangkan mereka menampilkan barisan pelumba terkuat yang sentiasa konsisten pada kejohanan berprestij seperti ini.
"Kebanyakan pelumba hebat dihantar dalam acara pecut dan keirin, dan sepatutnya Jepun boleh hantar tiga pelumba untuk acara keirin tapi dia hantar dua sahaja. Bagi saya satu kelebihan untuk kita sebab kalau boleh nak elak jumpa mereka bertiga di final sebab susah," katanya.
Muhammad Shah Firdaus tetap melihat perkara itu sebagai optimis kerana berasakan ini adalah antara persiapan yang boleh dijadikan 'panduan' untuk ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Ketua jurulatih basikal trek kebangsaan Harnizam Basri sebelum ini mengesahkan Muhammad Shah Firdaus akan menyertai acara pecut individu dan keirin lelaki.
-- BERNAMA
