Catatan itu mengatasi rekod miliknya 10.709s yang dilakukan di Olimpik Paris 2024 sekali gus menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat ketiga untuk layak ke suku akhir.
Anak jati Kedah itu kemudiannya tidak berdepan masalah menewaskan rakan senegara Nur Alyssa Mohd Farid 2-0 untuk mara ke separuh akhir bagi bertemu Guo Yu Fang dari China yang menumpaskan wakil Hong Kong, Yeong Cho Yiu 2-0.
"Saya memang tidak sangka dapat pecah rekod kebangsaan milik saya kerana sebelum ini saya agak bergelut dengan prestasi lagi-lagi ketika Piala Presiden sebelum ini.
"Saya memang bangga dengan persembahan saya dan ia bagi saya keyakinan untuk perlawanan esok. Saya optimis mampu sumbang pingat dalam acara pecut individu esok," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ini kali kedua Nurul Izzah Izzati memecahkan rekod kebangsaan di ATC 2025 selepas membantu pasukan pecut wanita meraih pingat perak semalam.
Sementara itu, pasukan Malaysia dijanjikan satu pingat dalam acara pecut individu lelaki selepas adik beradik Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.
Muhammad Shah Firdaus mara usai menewaskan wakil Thailand, Jai Angsuthasawit 2-1 dan akan bertemu wakil Jepun Kaiya Ota yang menumpaskan wakil India, David Beckham Elkathchoongo 2-0.
Bagi Muhammad Ridwan pula, beliau berjaya lolos ke separuh akhir dengan mengatasi wakil China, Liu Qi 2-1 dan akan bertemu Shinji Nakano dari Jepun yang mara selepas menumpaskan Kang Shih Feng 2-0.
Dalam perkembangan sama, skuad remaja kebangsaan terus cemerlang apabila menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa pada hari kedua ATC 2025 menerusi Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Dania Avriel Alviera Azif, masing-masing menerusi keirin dan perlumbaan scratch.
Skuad berbasikal trek para negara turut menambah satu lagi koleksi emas dalam acara kejar-mengejar Tandem B wanita menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Fitrah Shaari (jurumudi) manakala rakan senegara Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) meraih gangsa.
Pingat perak pertama skuad berbasikal para negara hari ini dirangkul Muhammad Khairul Adha Rasol dan Muhammad Luqman Daniel Mohammad Roji (jurumudi) dalam acara kejar-mengejar Tandem B lelaki.
-- BERNAMA
