KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) bangga dengan prestasi yang diperagakan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang membaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Malah Pengarah Teknikalnya, Robert Ballard percaya pelari berusia 21 tahun itu berupaya untuk melakar catatan masa yang lebih baik pada masa depan.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan menerusi pengurusan yang baik di bawah Universiti Auburn dan jurulatihnya, selain program nasional bagi memacuk prestasi ke tahap optimum.

"Ia petanda baik. Jika dia dapat mencari keadaan yang sesuai untuk acara di luar dewan, kita akan dapat lihat purata masa yang jauh lebih baik dalam acara 100m berbanding apa yang Azeem pamerkan tahun lalu," katanya.

Azeem mencatat masa 6.60 saat (s) dalam saingan separuh akhir Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California.

Catatan tersebut sekali gus memadamkan rekodnya sendiri 6.62s di kejohanan sama pada 2023.
Malah Azeem juga berharap dapat mengekalkan prestasi dalam usahanya untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 100m juga miliknya.

Ballard juga optimis, catatan 6.60s itu menunjukkan Azeem berada di landasan untuk kembali ke prestasi terbaiknya atau menjadi lebih baik.

"Ia perlu seiring. Dapatkan suasana yang tepat keadaan trek yang betul dan pilih kejohanan sesuai
"Kejayaan ini mampu menyuntik semangat pelari dalam program kebangsaan dan diharapkan ia juga dapat memotivasikan semua atlet lain juga," ujar Ballard.

Sebagai rekod, Azeem merupakan pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia. -- Sinar Harian