PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, terus membina keyakinan diri selepas sekali lagi melakar sensasi dalam acara 60 meter (m) dalam dewan di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS) sebentar tadi.

Atlet berusia 20 tahun itu berjaya melayakkan diri ke saingan akhir Southeastern Conference Indoor Track and Field Championships selepas menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 6.61 saat (s).

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu mewakili Universiti Auburn bersama rakan sepasukannya, Israel Okon, yang turut mencipta sejarah tersendiri.


Untuk rekod, pelumba kelahiran Perak itu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu dengan masa terpantas 6.60s bulan lalu.