Ringkasan AI
- Siri perlumbaan Super GT akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada Jun 2025 selepas 12 tahun, menjadikan Malaysia satu-satunya venue luar Jepun.
- Pusingan ketiga Super GT musim 2025 akan menampilkan format rolling start dengan dua pelumba setiap pasukan, serta acara sampingan seperti festival makanan dan budaya Jepun.
- Perlumbaan sulung GR86 Cup Series Malaysia 2025 akan berlangsung serentak dengan Super GT di Sepang, menambah kepadatan aksi perlumbaan di Malaysia.
Berita gembira ini dikongsikan oleh seluruh peminat perlumbaan itu di mana Malaysia adalah satu-satunya negara yang dipilih menjadi venue perlumbaan selain daripada negara asal mereka iaitu Jepun.
Kali terakhir ia dianjurkan di Sepang adalah pada tahun 2013 yang mana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap kali ia dianjurkan.
Litar Sepang akan menjadi venue perlumbaan bagi pusingan ketiga dalam kalendar Super GT musim 2025.
Pastinya ini merupakan saat yang paling dinanti-nantikan oleh peminat GT di Malaysia terutamanya bagi mereka yang masih mengikuti perkembangan perlumbaan GT500 dan GT300.
Format yang bakal digunakan masih lagi sama iaitu setiap pasukan akan menampilkan dua pelumba dengan format rolling start yang penuh dramatik.
Selain aksi hebat di litar, peminat juga akan disajikan dengan acara sampingan yang tidak kurang meriahnya termasuklah festival makanan dan budaya Jepun, Nihon Matsuri anjuran Trumpet International.
Malah akan turut memeriahkan suasana adalah perlumbaan sulung GR86 Cup Series Malaysia 2025 yang bakal menampilkan 30 buah Toyota GR86 dan bakal bersaing dalam empat pusingan sepanjang musim.
Pusingan pertama akan berlangsung serentak dengan perlumbaan Super GT di Sepang sekali gus menjadikan siri perlumbaan di Malaysia lebih padat dengan aksi.
Buat masa ini tiga pengeluar utama Jepun yang masih kekal bersaing dalam GT500 termasuklah Nissan Z GT500, Toyota Supra GT500 dan Honda Civic Type R-GT500. -- Stadium Astro
