KOTA BHARU: Atlet Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menaruh harapan besar agar sukan tempur itu dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Ahmad Nor Iman Aliff, 21, yang mendambakan untuk beraksi di pentas berprestij itu, berkata Muay Thai semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda justeru sukan itu wajar diangkat ke tahap lebih tinggi apatah lagi Malaysia memiliki potensi besar untuk bersaing di pentas dunia.

"Jika Muay Thai dipertandingkan di Olimpik suatu hari nanti, saya mahu menjadi antara yang mewakili Malaysia di peringkat itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan kesungguhan dan komitmennya untuk terus berlatih serta berjuang bagi mengharumkan nama negara.

"Saya akan terus berlatih dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia. Tolong sokong saya, kerana saya mahu membawa kejayaan ini untuk kita semua," katanya.

Muay Thai, sukan tempur berasal dari Thailand, pernah dipertandingkan di Sukan SEA namun belum pernah dipertandingkan sebagai sukan berpingat di Olimpik.

Dia kini di ranking kedua dalam kategorinya turut menetapkan sasaran untuk membawa pulang tali pinggang kejuaraan One Championship ke Malaysia. - Gambar fail/Bernama

Pada Olimpik Paris 2024, Muay Thai dianjurkan sebagai sukan pertunjukan.

Sementara itu, mengulas kejayaannya menewaskan wakil Rusia Shamil Adukhov dalam tempoh 70 saat pada aksi One Fight Night di Bangkok, Thailand baru-baru ini, Ahmad Nor Iman Aliff berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian menumbangkan Adukhov dalam tempoh singkat.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan memang menjangkakan dapat menewaskan lawan dalam pusingan pertama atau kedua.

"Alhamdulillah, latihan intensif selama sebulan membuahkan hasil. Saya menjalani latihan di Bangkok, mengurangkan berat badan dan membuat persiapan rapi sebelum perlawanan," katanya.

Beliau berkata tiada perbezaan ketara antara Muay Thai di Thailand dan Malaysia namun kejohanan Muay Thai tempatan seperti TFight (Kejohanan Muay Thai TFight 2025) yang diadakan di Malaysia kini semakin berkembang dan hampir setanding dengan One Championship.

Beliau yang kini di ranking kedua dalam kategorinya turut menetapkan sasaran untuk membawa pulang tali pinggang kejuaraan One Championship ke Malaysia.

"Sasaran saya sekarang untuk mendapatkan tali pinggang One Championship. Saya mahu menjadi orang pertama yang membawa pulang kejuaraan itu ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Aliff turut berterima kasih kepada keluarganya yang memberikan sokongan penuh termasuk menemaninya di Bangkok selama dua minggu menjelang pertarungan itu.

Beliau juga mendorong anak muda yang berminat dalam sukan Muay Thai agar tidak menjadikan wang sebagai matlamat utama, sebaliknya mengutamakan minat dan semangat juang.

"Kejayaan datang daripada usaha dan ketahanan mental serta fizikal. Jika ada minat, kita boleh pergi jauh. Saya harap lebih ramai rakyat Malaysia dapat bersaing di pentas antarabangsa dan membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA