KUALA NERUS: Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad The City Boys berjaya menaiki satu tangga ke kedudukan keenam Liga Super dengan kutipan 24 mata menerusi 18 perlawanan.

Perlawanan bermula perlahan tanpa sebarang percubaan berbahaya oleh kedua-dua pasukan pada 10 minit pertama.

Bagaimanapun pada minit ke-15, pasukan tuan rumah yang dibimbing Badrul Afzan Razali mengejutkan lawan apabila meledakkan gol pertama untuk meletakkan skuad Penyu di hadapan 1-0.

Jaringan disempurnakan oleh pemain pertahanan muda Muhammad Safwan Mazlan yang melakukan rembatan dari jarak jauh.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan pelawat bangkit mengatur serangan dan beroleh peluang pertama menerusi Jovan Motika namun tandukannya sedikit tinggi melepasi palang.

Tuan rumah kemudiannya menggandakan asakan dan mencipta peluang keemasan pada minit ke-21, tetapi percubaan Nelson Bonilla berjaya ditampan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang sudah bersedia di hadapan gawang.

Pada masa kecederaan babak pertama, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan kapten pasukan Paolo Josue.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan memperhebat serangan untuk mencari gol tambahan demi memburu kemenangan.

Pada minit ke-48, TFC hampir menggandakan jaringan namun sayangnya rembatan kencang Nurillo Tukhtasinov dari luar kotak penalti sedikit tinggi melepasi palang.

Peluang sama hadir buat KL City FC pada minit ke-50 namun tandukan Kenny Pallraj juga melangkaui palang.

Pada minit ke-79, pemain gantian Patrick Reichelt muncul wira KL City FC apabila menjaringkan gol kedua yang merupakan gol kemenangan buat pasukan itu yang mendahului 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

-- BERNAMA