BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, membawa cabaran ke final Kejohanan Badminton Masters Indonesia selepas melakar kemenangan ke atas wakil Korea Selatan hari ini.

Turun bertemu pasangan Korea, Lee Yeon-woo-Lee Yu-lim, Pearly-Thinaah berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan berjaya mendahului 11-4 sebelum lawan bangkit mengejar permainan untuk 16-16.

Ketika penghujung set pertama makin menghadirkan situasi dramatik, Pearly-Thinaah berjaya kekal tenang sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19.

Walaupun gandingan Korea Selatan ni berada di ranking ke-146, mereka ternyata memberikan tempoh sukar buat Pearly-Thinaah apabila memulakan set kedua dengan cukup agresif menerusi pukulan kencang serta gerakan pantas di atas gelanggang.

Saling bertukar serangan dan bertahan, gandingan negara akhirnya berjaya mendahului 11-9 di interval, sebelum mengawal rapi permainan untuk melengkapkan kemenangan 21-16 sekali gus memastikan slot ke perlawanan akhir esok. -- Stadium Astro