Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata langkah pasangan bukan pilihan itu menyebabkan mereka terpaksa akur tunduk kepada pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang, 14-21, 13-21 pada kejohanan bertaraf Super 300 di Palais des Sports, Orleans.
"Dari pusingan pertama hingga ke suku akhir, saya berpuas hati dengan persembahan mereka tetapi ketika lawan pasangan China (Wei Keng-Wang Chang) macam terlalu mahu main sempurna dalam semua pukulan.
"Mereka (Wan Arif-Roy King) selalu dipaksa dalam setiap pukulan mereka sehingga banyak buat kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kekalahan itu memusnahkan impian mereka untuk memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama, selepas sekadar naib juara Masters Sepanyol 2024 di Madrid.
Kekalahan itu juga merekodkan buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun Malaysia pulang tanpa sebarang gelaran juara di Masters Orleans.
Pada 2023, beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinobatkan sebagai juara, manakala Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri memenangi gelaran beregu lelaki tahun lepas.
Walaupun kecewa dengan keputusan itu, Rexy berharap Wan Arif-Roy King akan bangkit semula dengan menampilkan aksi yang lebih bertenaga pada penampilan sulung di Seluruh England 2025, bermula Selasa ini hingga 16 Mac ini.
Pasangan yang menduduki ranking ke-18 dunia itu akan memulakan kempen pada kejohanan badminton tertua dunia di Utilita Arena Birmingham, Birmingham menentang Huang Di-Liu Yang dari China.
Wan Arif-Roy King bagaimanapun mempunyai kelebihan apabila menentang pasangan China itu di Birmingham selepas menang 21-16, 16-21, 21-14 dalam satu-satunya pertemuan mereka di Ruichang China Masters 2023.
Berdasarkan undian All England 2025, ada kemungkinan Wan Arif-Roy King akan menentang Wei Keng-Wang Chang sekali lagi, sekiranya kedua-dua pasangan itu mara ke pusingan kedua.
"Tiada apa yang perlu dikhuatiri pada Seluruh England, harap dapat jumpa lagi (Wei Keng-Wang Chang)," kata Rexy.
Wei Keng-Wang Chang, pilihan ketiga di Seluruh England 2025 akan menentang pemain Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
-- BERNAMA
