KUALA LUMPUR: Atlet Muay Thai muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar sedia menyahut cabaran abangnya, Muhammad Johan 'Jojo' Ghazali Zulfikar yang ingin melihat bakat muda lain beraksi di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.


Ringkasan AI
  • Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, pemenang pingat emas SUKMA 2024, bersedia menyahut cabaran abangnya, Jojo, untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
  • Jojo, 18, akan memberi tumpuan kepada ONE Championship dan membuka peluang kepada atlet muda lain untuk Sukan SEA.
  • Miki, 16, bercita-cita untuk beraksi di ONE Championship dan akan menyertai Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 di Dataran Merdeka pada 22 Feb.


Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu berkata, mewakili negara di temasya berkenaan adalah impian setiap atlet dan peluang itu seharusnya tidak boleh diabaikan.

"Mahu juga (kalau diberi peluang). Siapa yang tidak mahu (mewakili Malaysia di Sukan SEA), tetapi setakat ini belum ada pemilihan atau panggilan daripada pihak persatuan berhubung perkara itu," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Jojo, 18, akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertarungan di ONE Championship sekali gus menolak untuk mewakili negara menyertai Sukan SEA hujung tahun ini.

Jojo menegaskan tindakan yang dilakukannya itu bagi membuka laluan kepada atlet muda yang berpotensi untuk ke temasya dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Muhammad Mikail, 16, yang mesra disapa Miki berkata, beliau mahu mengikut jejak langkah abangnya untuk beraksi di One Championship satu hari nanti.

Meskipun mengakui ia bukanlah satu perkara yang mudah, beliau akan bekerja keras bagi merealisasikan impian itu.

"Sekarang ini memang fokus nak masuk One (Championship) dulu. Jadi sekarang memang tengah lawan dulu supaya orang dekat sana dapat tengok bakat Miki.

"Harapan saya untuk satu atau dua tahun lagi akan beraksi di One bersama abang," katanya yang mengidam untuk beraksi dalam kategori strawweight (56.7 kilogram).

Mengenai perkembangan terkini, Miki berkata beliau akan menyertai Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, di sini, 22 Feb ini.

Ketika ini, katanya beliau masih berlatih bersama Rentap Muaythai di Kuching, Sarawak dan akan sesekali ke Thailand untuk berlatih di Superbon di Bangkok sekiranya mempunyai kejohanan besar. - BERNAMA