Menurut satu kenyataan di X oleh @MotoGP, pelumba Aprilia Racing itu, yang telah dikejarkan ke hospital- dipercayai di Nilai, Negeri Sembilan - untuk pemeriksaan lanjut sejurus selepas kemalangan tersebut, disahkan mengalami kecederaan patah tangan kanan dan patah kaki kiri.
"Beliau akan kekal di hospital semalaman dan esok akan terbang kembali ke Eropah untuk menjalani pembedahan pada tangan kanan dan kaki kirinya," menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, pelumba Sepanyol berusia 27 tahun itu, melalui satu hantaran di Instagramnya, meluahkan rasa kecewa kerana terlepas peluang memulakan musim baharu dengan baik.
"Bukan permulaan terbaik untuk musim 2025. Tapi Martinator pasti sentiasa kembali lebih kuat," katanya.
Insiden malang itu menyaksikan Martin tercampak dari jentera baharu Aprilia RS-GP di Selekoh 2, berpusing di udara sebelum mendarat dengan kuat di trek asfalt.
Sebelum kejadian tersebut, pelumba yang digelar 'Martinator' itu turut terlibat dalam satu kemalangan di Selekoh 1, manakala masa terbaiknya pada sesi semallam ialah dua minit dan 1.321 saat (s) pada pusingan kelima.
Dalam pada itu, juara dunia 2021, Fabio Quartararo muncul sebagai pelumba terpantas pada hari pertama dengan catatan masa 1:57.555s.
Ujian musim sejuk selama tiga hari itu akan disambung hari ini dan berlangsung sehingga Jumaat ini.
-- BERNAMA