Namun beliau menjelaskan pemilihan akhir masih bergantung kepada perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memastikan tiada konflik jadual dengan kejohanan lain selain mengambil kira prestasi dan tahap kecergasan semasa atlet.
"Muhammad Azeem memang antara dalam senarai calon, tetapi kami perlu melakukan verifikasi dan semakan dengan MSN bagi mengelakkan sebarang pertindihan jadual. Itu yang menjadi keutamaan kami.
"Jika prestasinya ok dan dia bebas daripada kecederaan, insya-Allah kita akan bawa pasukan terbaik ke Jerman tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), malam tadi.
Mohd Hafiz berkata Jawatankuasa Kontinjen Malaysia akan mengadakan bengkel pemilihan atlet bagi menyenarai pendek 60 atlet yang akan bertanding dalam tujuh daripada 19 acara yang dipertandingkan di Universiade 2025.
Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara memanah, olahraga, badminton, terjun, gimnastik artistik, renang dan taekwondo.
"Sasaran dan pencapaian kontinjen akan diumumkan kemudian, kerana kami masih dalam proses pemilihan atlet dengan menilai prestasi semasa mereka berdasarkan input daripada MSN dan Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti.
"Kos ke Jerman agak tinggi, jadi kami perlu membuat kajian dan hanya menyertai acara yang mempunyai potensi untuk menang. Kejohanan ini sangat kompetitif jadi kami mahu atlet terpilih mampu memberi saingan dan memperbaiki rekod," katanya.
Mohd Hafiz berkata Malaysia bakal berdepan saingan sengit di kejohanan berstatus elit itu yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 27 Julai ini.
-- BERNAMA
