GEORGE TOWN: Penang FC bertekad memanfaatkan sepenuhnya tempoh 'rehat' sebulan sebelum perlawanan seterusnya untuk memperbaiki kesilapan sekali gus mengelakkan pasukan daripada terus tercicir mata.

Ketua jurulatihnya Wan Rohaimi Wan Ismail berkata ini kerana pasukannya masih berada dalam kedudukan kritikal dan sudah mengharungi 20 perlawanan berbanding pasukan lain.

Beliau berkata banyak kesilapan dilakukan oleh pemain yang akhirnya menyebabkan mereka kehilangan peluang mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan malam tadi menentang Kuching City FC.

"Banyak kesilapan sendiri yang menyebabkan pasukan dalam keadaan tertekan. Dari segi membuat keputusan, mana nak letak bola ketika keadaan tertekan menjadi punca kita sentiasa ditekan oleh lawan.

"Jadi, ada tempoh sebulan sebelum perlawanan seterusnya untuk saya tambah baik dan perbaiki kesilapan yang berlaku malam ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini.

Dalam perlawanan tersebut, Penang FC yang melayani kunjungan Kuching City FC sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 sekali gus menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu berada di tangga ke-9 daripada 13 pasukan dengan 20 mata daripada 20 perlawanan.


Bagaimanapun, Wan Rohaimi tetap memuji semangat juang dan komitmen ditunjukkan pemain yang telah bermain bersungguh-sungguh serta menyekat beberapa peluang pasukan pelawat untuk menambah jaringan.

Sementara itu, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak menyifatkan perlawanan malam tadi tidak mudah buat anak buahnya yang terpaksa bekerja keras hingga ke minit terakhir biarpun mereka mendominasi permainan.

"Saya gembira mereka tidak putus asa hingga ke minit terakhir. Ia tidak mudah terutama pada sembilan minit masa tambahan. Saya pun tak tahu mengapa tetapi paling penting kita tak kalah.

"Bagaimanapun, kita perlu perbaiki beberapa aspek, terutama apabila dalam setiap perlawanan kita mendominasi. Kita cipta banyak peluang, tetapi gagal disudahkan dengan jaringan. Saya rasa ini yang perlu kita perbaiki sebagai satu pasukan, bukan pemain sahaja," katanya.

-- BERNAMA