PETALING JAYA: Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran pada edisi 2024/2025 ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Gergasi Merah yang akhirnya menamatkan penantian satu dekad selepas kali terakhir menjulang trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada Piala Malaysia 2015.

Anak buah Kinoshi Katsuhito tampil garang dalam aksi final kedua itu, bermula dengan gol 'amaran' Ali Olwan pada minit keempat sebelum Yohandry Orozco menanduk bola tepat di hadapan tiang gol tuan rumah pada minit ke-10.

Ketika PDRM FC mula menemui rentak, mereka dikejutkan dengan tamparan hebat apabila pemain tengah, Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy dilayangkan kad merah susulan terjahan keras pada minit ke-22.

Insiden itu membakar semangat Gergasi Merah yang pantas memanfaatkan kelebihan menerusi hantaran bola lintang Quentin Chen tepat ke dalam kotak penalti, disudahkan dengan tandukan padu Ronnie Allan Fernandez Saez lapan minit kemudian untuk menjarakkan kedudukan.

Babak kedua menyajikan aksi lebih sengit apabila kedua-dua pasukan tampil lebih berdisiplin dalam mempertahankan gawang masing-masing namun PDRM sekali lagi dibolosi pada minit ke-80 selepas Yohandry Orozco menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Selangor FC menewaskan PDRM FC 3-0 pada final pertama dan 4-0 pada final kedua hari ini.

Nasib 'malang' PDRM bermula apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman ke atas mereka kerana menurunkan pemain tidak berkelayakan dalam aksi final pertama menentang Selangor di gelanggang sama pada 15 Feb lepas yang berkesudahan dengan kekalahan 2-3.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan akibat kesalahan tersebut, PDRM dilucutkan hak perlawanan justeru keputusan diubah kepada kekalahan 0-3 dan pasukan itu dikenakan denda RM3,000.

Piala Cabaran diperkenalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sejak 2018 dengan Terengganu FC II (TFC II) bergelar juara pada edisi sulung diikuti Johor Darul Ta'zim II (2019) dan PDRM FC pada musim 2023.

-- BERNAMA