Gol daripada tandukan Harry Maguire dalam waktu kecederaan melengkapkan kebangkitan Manchester United ketika menewaskan Leicester City 2-1 di Old Trafford untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kelima Piala FA.
United sekali lagi memulakan perlawanan dengan hambar, di mana mereka gagal mendaftarkan sebarang percubaan sepanjang separuh masa pertama.
Mereka ketinggalan pada minit ke-42 apabila Bobb De Cordova-red mudah menanduk masuk bola melepasi penjaga gol, Andre Onana.
Pasukan bimbingan Ruben Amorim itu menampilkan aksi lebih baik selepas waktu rehat dan hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Alejandro Garnacho, tetapi percubaannya terbias ke palang gol sebelum dikeluarkan Caleb Okovoli dari atas garisan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, jaringan yang dicari-cari United muncul pada minit ke-68 apabila Juoshua Zirkzee menolak masuk bola di depan gawang susulan usaha awal yang dilakukan Garnacho.
Ketika Leicester kelihatan akan membawa perlawanan itu ke masa tambahan, Maguire menjaringkan gol kontroversi melalui tandukannya dalam waktu kecederaan.
Dia menanduk masuk bola daripada sepakan percuma gemilang Bruno Fernandes dan walaupun ulang tayang menunjukkan dia berada di kedudukan ofsaid, tiada rujukan video bantuan pengadil (VAR) dapat dilakukan kerana teknologi itu hanya akan diaplikasikan bermula pusingan kelima Piala FA musim ini. - Stadium Astro