KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui Stadium Jalan Raja Muda Kampung Baru, memerlukan penambahbaikan sebelum dapat dibangunkan sebagai Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) pada Jun ini.

Beliau berkata segala proses penambahbaikan venue berkenaan, akan dilakukan pihaknya selepas mengambil alih venue tersebut pada 1 April ini, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Selepas saya melawat bersama Timbalan Presiden Datuk Abdul Halim Suleiman, kami berasakan banyak perkara yang kita perlu buat, sebagai contoh dewan itu sendiri perlu ada kemudahan yang terbaik dan juga penghawa dingin.

"Selain itu di sini juga terdapat lebih kurang 32 bilik penginapan, yang saya rasa kita perlu naik taraf untuk beri keselesaan kepada penghuni. Jadi perkara-perkara ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat terdekat," katanya selepas mengadakan lawatan di Stadium Jalan Raja Muda di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan PSM akan mengambil-alih pengoperasian stadium berkenaan yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN), dengan badan induk itu diberikan diberikan kontrak sewa sembilan tahun hingga 2034.

Keputusan itu dicapai selepas pertemuan wakil PSM bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin pada Isnin lepas.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas berkenaan Stadium Titiwangsa yang merupakan rumah kepada pasukan sepak takraw negara, Sumali berkata venue itu tetap akan digunakan bagi menganjurkan kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Kejohanan-kejohanan besar kita akan adakan di Stadium Titiwangsa sebab seperti kita tahu stadium itu mempunyai sejarah yang tersendiri untuk sukan sepak takraw. Malah kita menang Piala Dunia juga di situ.

"Venue ini kita akan gunakan untuk menganjurkan kejohanan tempatan dan program pembangunan atlet," katanya

-- BERNAMA