SHAH ALAM: Selangor memberi jaminan tiada sebarang unsur promosi atau normalisasi budaya songsang seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di negeri berkenaan.


Ringkasan AI
  • Selangor memberi jaminan bahawa tiada unsur promosi atau normalisasi budaya songsang seperti LGBT sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
  • Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memastikan sebarang elemen berkaitan budaya LGBT dibanteras, termasuk tindakan segera oleh JAKIM terhadap isu tular lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita.
  • Penganjuran SUKMA 2026 melibatkan bajet RM250 juta dan menghadapi cabaran seperti ketiadaan venue utama dan tempoh persediaan yang singkat. Venue sedia ada akan dinaik taraf untuk memastikan temasya berlangsung dengan jayanya.


Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata penetapan itu dibuat kerajaan negeri untuk memastikan sebarang budaya songsang tidak dinormalisasikan dan menular dalam kalangan masyarakat, melibatkan pelbagai acara yang akan dianjurkan pada temasya dwitahunan itu.

"Kita sedia maklum dengan isu yang berlaku mutakhir ini... antaranya membabitkan penganjuran acara muzik (lelaki berpakaian perempuan) dan insiden itu sangat kita kesali.

"Kita melihat ini mungkin sebagai sebahagian daripada usaha untuk menormalisasikan budaya kurang sihat, budaya songsang, dan untuk penganjuran SUKMA Selangor 2026 nanti kita mengambil ketetapan dan menjamin tidak sebarang unsur promosi atau menormalisasikan budaya seperti LGBT," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) yang ingin tahu tindakan yang akan dilakukan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor untuk memastikan perjalanan SUKMA 2026 terkawal dan tidak dicemari dengan budaya songsang.

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata kerjasama dan sokongan pelbagai agensi akan dilaksanakan dalam memastikan sebarang bentuk atau elemen berkaitan budaya LGBT dibanteras.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 17 Feb lepas dilaporkan berkata akan mengambil tindakan segera susulan isu tular melibatkan lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah program hiburan baru-baru ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu, menegaskan kejadian berkenaan telah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menyentuh sensitiviti Islam serta budaya negara.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata penganjuran SUKMA 2026 melibatkan bajet anggaran keseluruhan RM250 juta, antara lain bagi kos pengurusan sekretariat, persediaan atlet, penyediaan teknikal peralatan kelengkapan pertandingan, perkampungan sukan, makan dan minum, sistem teknologi ICT, serta media dan promosi.

Beliau berkata cabaran utama yang dikenal pasti dalam persiapan Selangor sebagai tuan rumah adalah ketiadaan venue utama untuk penganjuran berikutan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka hanya siap untuk fasa satu pada pertengahan tahun 2027.

"Di samping itu, tempoh masa persediaan yang sangat singkat iaitu kurang dua tahun berbanding negeri-negeri tuan rumah sebelum ini, yang mempunyai tempoh masa panjang antara empat hingga enam tahun sebelum bertindak menjadi tuan rumah.

"Bagi mengatasi cabaran itu, venue pertandingan (sedia ada) telah dikenal pasti dan masih boleh digunakan bagi memastikan temasya berlangsung dengan jayanya. Semua venue pertandingan hanya akan dinaik taraf dan diperbaiki bagi memastikan ia mengikut standard yang telah ditetapkan," katanya yang menjawab pertanyaan lisan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu berhubung cabaran persiapan SUKMA 2026 yang telah dikenal pasti.

Pada 18 Julai 2024, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia mengesahkan Selangor bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA 2026.

Ia selepas tawaran yang dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli.

-- BERNAMA