Pengendali berusia 49 tahun itu berkata ia termasuk penyerang import kelahiran Nigeria Ismaheel Akinade, Muhammad Akram Mahinan, dan penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Badrul Afzan berkata Akinade dan Rahadiazli terpaksa direhatkan akibat kecederaan ketika perlawanan Liga Super baru-baru ini manakala Muhammad Akram pula menerima dua layangan kad kuning.
"Saya akui sudah pasti sedikit sebanyak ia menjejaskan persiapan terutama di posisi penjaga gol kerana sebelum ini kita telah kehilangan penjaga gol utama, Suhaimi Hussin yang berehat panjang akibat kecederaan.
"Untuk perlawanan penting ini kita hanya tinggal Syed (Syed Nasrulhaq Syed Bidin) daripada skuad utama dan terpaksa menggunakan khidmat penjaga gol Terengganu FC ll Mohd Faris Rifqi Abdul Rashid untuk mengisi kekosongan di posisi itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang skuad Penyu untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia musim ini, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu mengakui harapan anak buahnya agak tipis setelah kalah 0-4 di tangan JDT pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 17 Jan lepas.
Bagaimanapun, beliau berkata ia bukan alasan untuk pasukannya bermain sambil lewa dan memberi kemenangan mudah kepada skuad gergasi Harimau Selatan.
"Untuk perlawanan kali ini kita fokus kepada pertahanan. Kita tahu kekuatan JDT apabila bermain di SSI ... ia bukan mudah apatah lagi kita ketinggalan empat kosong.
"Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya lebih fokus dan disiplin. Sedikit kelalaian akan menyebabkan kita dihukum seperti dalam dua perlawanan dengan JDT baru-baru ini," katanya.
-- BERNAMA