Paris Saint-Germain (PSG) melakar kejutan selepas bangkit menewaskan Manchester City 4-2 walaupun ketinggalan dua gol terlebih dahulu dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Parc des Princes, awal pagi tadi.
PSG melangkah ke tangga ke-22 dalam carta liga, manakala The Citizens turun ke tangga ke-25 sekali gus berada di luar kelompok untuk mara ke pusingan kalah mata dan berpotensi untuk tersingkir.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua berpeluang untuk mendahului, dengan sepakan voli Fabian Ruiz ditepis Josko Gvardiol sebelum percubaan Achraf Hakimi dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Namun, aksi kembali hidup dalam separuh masa kedua apabila gol City hadir menerusi Jack Grealish dan Erling Haaland dalam tempoh tiga minit untuk mendahului PSG, 2-0.
Begitupun, Ousmane Dembele mengurangkan defisit jaringan selepas menyempurnakan hantaran lintang Bradley Barcola untuk menewaskan Ederson, sebelum Barcola memanfaatkan peluang terhidang bagi jaringan penyamaan PSG.
Joao Neves menjadi watak penting pasukan tuan rumah selepas tandukannya memastikan PSG mendahului buat pertama kali, dan jaringan kontroversi Goncalo Ramos menambah duka City yang terpaksa akur dengan kebangkitan anak buah Luis Enrique untuk tewas 4-2.