ISLAM Makhachev berjaya mengekalkan kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan Renato Moicano dari Brazil pada aksi UFC 311 di Intuit Dome, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Islam Makhachev mengekalkan kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan Renato Moicano di UFC 311 melalui kuncian D'Arce pada pusingan pertama.
  • Makhachev menunjukkan dominasi hebat dengan menewaskan Moicano yang cuba memberi tekanan, sebelum memerangkapnya dengan kuncian dalam masa singkat.
  • Kemenangan ini menambah rekod cemerlang Makhachev kepada 27-1 dan mengukuhkan statusnya sebagai juara lightweight serta petarung pound-for-pound nombor satu dunia.


Petarung sensasi dari Rusia itu hanya memerlukan satu pusingan untuk menundukkan lawannya menerusi kuncian D'Arce pada minit 04:05.

Pertarungan bermula tenang, dengan Moicano cuba memberi tekanan menerusi tendangan ke badan serta jab, namun Makhachev berjaya mengawal keadaan dengan menjatuhkannya ke lantai Octagon. 

Makhachev terus mendominasi dengan serangan siku diikuti kawalan penuh di kanvas. Tidak mengambil masa lama, Makhachev memerangkap Moicano dengan kuncian D'Arce yang sempurna. 

Kemenangan ini sekali lagi membuktikan kehebatan Makhachev sebagai juara lightweight yang sukar ditandingi. 

Dengan keputusan terbaharu ini, Makhachev melebarkan rekod profesionalnya kepada 27 - 1 (27 kemenangan, dan satu kekalahan).

Sebagai rekod, Makhachev, 33, dilatih oleh bekas juara lightweight dan bintang UFC, Khabib Nurmagomedov yang mengambil alih tugas Allahyarham bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Makhachev meraih kejuaraan lightweight UFC pada Oktober 2022 dalam acara UFC 280 selepas menundukkan jaguh Brazil, Charles Oliveira, dengan kemenangan dominan. 

Dia kemudiannya mempertahankan kejuaraan itu dengan bergaya, dua kali menewaskan Alex Volkanovski — masing-masing di UFC 284 di Perth, Australia, dan UFC 294 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. 

Tidak terhenti di situ, Makhachev terus membuktikan statusnya sebagai petarung pound-for-pound nombor satu dunia selepas menumpaskan Dustin Poirier di UFC 302.

Sementara itu, dalam acara kedua utama, Merab Dvalishvili berjaya mengekalkan kejuaraan bantamweight miliknya selepas menewaskan Umar Nurmagomedov dari Rusia.

Petarung dari Georgia itu menundukkan lawannya menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas lima pusingan.

Pertarungan antara Dvalishvili dan Nurmagomedov berlangsung sengit, dengan Dvalishvili memberi tekanan sepanjang perlawanan termasuk beberapa takedown yang berkesan. 

Nurmagomedov, meskipun bertahan dengan baik, ia tidak mencukupi untuk mengatasi Dvalishvili yang terus-menerus mendominasi pertarungan. 

Keputusan sebulat suara oleh juri memihak kepada Dvalishvili, yang meraih kemenangan sekali gus menyaksikan kekalahan pertama dalam karier Umar Nurmagomedov.