RIYADH: Arab Saudi menerusi Dana Pelaburan Awam (PIF) dilaporkan sedang mengadakan perbincangan awal untuk mengambil alih Unity Software, syarikat penyedia perisian pembangunan permainan video yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Menurut Amanz yang memetik Reuters, perbincangan sulit yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu itu melibatkan cadangan pengambilalihan bernilai sekitar AS$25 bilion (kira-kira RM109.8 bilion).
Sekiranya dimuktamadkan, urus niaga itu akan menyaksikan konsortium pelabur global yang turut disertai firma ekuiti swasta Amerika Syarikat, Silver Lake Partners, membeli baki saham Unity yang masih berada di pasaran dan menjadikannya syarikat persendirian.
Bagaimanapun, sumber yang mengetahui perkara itu berkata tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini.
Pada masa sama, pengurusan Unity dilaporkan bekerjasama dengan sebuah bank pelaburan bagi menilai pelbagai pilihan strategiknya.
Langkah terbaharu itu dilihat selaras dengan usaha Arab Saudi di bawah agenda Visi 2030 untuk mengembangkan pelaburan dalam sektor teknologi, permainan video dan e-sukan di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan ekonominya, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak.