BINANCE membekukan sebahagian aset kripto yang dikaitkan dengan satu insiden keselamatan siber selepas platform itu dilaporkan menjadi sasaran penggodam, dengan kerugian dianggarkan melebihi AS$6.3 bilion (kira-kira RM27.6 bilion).
Syarikat itu turut menggantung sementara perkhidmatan deposit dan pengeluaran sementara siasatan lanjut dijalankan, lapor Amanz.
Jika disahkan, insiden berkenaan akan menjadi kes kecurian aset kripto terbesar dalam sejarah, mengatasi kerugian sekitar AS$1.5 bilion (kira-kira RM6.6 bilion) susulan serangan siber terhadap Bybit tahun lalu.
Binance berkata pihaknya sedang menyiasat kemungkinan wujud kelemahan keselamatan dan menegaskan dana pengguna kekal selamat.
Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa sebarang kerugian yang layak akan ditanggung menerusi dana rizab insurans Secure Asset Fund for Users (SAFU).
Menurut syarikat itu, pihak pengurusan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengesan dan mendapatkan semula dana yang dicuri.
Sementara itu, penerbit stablecoin Tether dan Circle turut mengambil langkah membekukan aset yang dikaitkan dengan insiden berkenaan, dengan nilai keseluruhannya dilaporkan mencecah AS$3 bilion (kira-kira RM13.1 bilion).
Berikutan serangan tersebut, nilai beberapa mata wang kripto utama termasuk Bitcoin, Ethereum dan Solana dilaporkan susut berikutan kebimbangan dalam kalangan pelabur.
Insiden itu juga dilaporkan menjadi kes kecurian dana kripto kedua terbesar dalam tempoh sebulan.
Beberapa minggu sebelum ini, pemilik dompet fizikal Ledger melaporkan kehilangan dana selepas peranti yang dijual oleh CryptoBilis, sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia, didakwa terjejas dalam serangan rantaian bekalan. Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih memerlukan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa dan syarikat berkaitan.