Skip to main content

Teknologi

Festival of Ideas Putrajaya: Anak pemandu teksi dari UPM cipta inovasi GrafinTok, bantu tingkat prestasi enjin kenderaan

Inovasi berkenaan dibangunkan oleh penyelidik UPM, Prof. ChM. Dr. Janet Lim Hong Ngee dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, dengan memanfaatkan sifat unik grafena sebagai bahan berasaskan karbon yang mempunyai kekuatan mekanikal dan ciri pelinciran yang menarik.
Inovasi berkenaan dibangunkan oleh penyelidik UPM, Prof. ChM. Dr. Janet Lim Hong Ngee dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, dengan memanfaatkan sifat unik grafena sebagai bahan berasaskan karbon yang mempunyai kekuatan mekanikal dan ciri pelinciran yang menarik.

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi nanobahan dalam industri automotif membuka peluang kepada pembangunan penyelesaian baharu bagi meningkatkan kecekapan enjin, termasuk mengurangkan geseran antara komponen dan mengoptimumkan sistem pelinciran.

Menyedari potensi itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan GrafinTok, bahan tambahan minyak enjin berasaskan teknologi grafena yang direka untuk membantu meningkatkan prestasi serta memberikan perlindungan tambahan kepada komponen enjin kenderaan.

 

Image
GRAFINTOK


Inovasi berkenaan dibangunkan oleh penyelidik UPM, Prof ChM Dr Janet Lim Hong Ngee dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, dengan memanfaatkan sifat unik grafena sebagai bahan berasaskan karbon yang mempunyai kekuatan mekanikal dan ciri pelinciran yang menarik.

Beliau berkata, GrafinTok berfungsi sebagai bahan tambahan yang dicampurkan ke dalam minyak enjin sedia ada bagi membantu mengurangkan geseran antara permukaan logam yang bergerak ketika enjin beroperasi. 

"Pendekatan itu penting kerana geseran berlebihan boleh menyumbang kepada kehausan komponen dan menjejaskan kecekapan operasi enjin.

"Penggunaan grafena dalam formulasi berkenaan bertujuan membentuk lapisan perlindungan pada permukaan komponen enjin, sekali gus membantu mengurangkan sentuhan langsung antara permukaan logam. 

"Keadaan itu berpotensi menghasilkan proses pelinciran lebih baik dan operasi enjin yang lebih lancar," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Advertisement
Image
GRAFINTOK


Menurut Janet, idea pembangunan inovasi itu turut tercetus daripada pengalaman peribadi apabila melihat bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi sering berdepan masalah kenderaan berbunyi kuat, bergetar dan kurang responsif. 

Katanya, pengalaman itu mendorong beliau meneroka penyelesaian berasaskan penyelidikan kimia bagi membantu meningkatkan prestasi enjin.

"Selain membantu mengurangkan geseran, GrafinTok turut mengetengahkan potensi meningkatkan kelancaran operasi enjin, mengurangkan bunyi dan getaran serta membantu mengawal suhu ketika kenderaan digunakan. 

"Manfaat berkenaan berpotensi memberikan pengalaman pemanduan lebih selesa, khususnya bagi kenderaan yang digunakan secara kerap.

"Menariknya, inovasi ini turut memberi tumpuan kepada aspek kecekapan penggunaan bahan api dengan pengurangan geseran dalam enjin berpotensi mengurangkan kehilangan tenaga akibat rintangan mekanikal, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan bahan api yang lebih cekap," ujar beliau.

 

Advertisement
Image
GRAFINTOK



UPM sebelum ini melaporkan hasil ujian produk menunjukkan potensi pengurangan pelepasan hidrokarbon, karbon monoksida dan nitrogen monoksida sehingga 50 peratus, selain pengurangan bunyi dan getaran sebanyak 10 peratus. 

Bagaimanapun, prestasi sebenar bergantung kepada keadaan enjin, jenis kenderaan dan kaedah pengujian yang digunakan.

Janet berkata, usaha membawa hasil penyelidikan ke pasaran turut dilaksanakan menerusi GO Advanced Solutions Sdn. Bhd., syarikat pemula UPM yang terlibat dalam pengkomersialan inovasi berkenaan.

"GrafinTok juga pernah meraih pingat emas pada International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) Malaysia 2021.

"Terbaharu, inovasi ini terus menerima pengiktirafan apabila Janet meraih Anugerah Perak kategori Cap Dagangan (Brand Champion) pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 menerusi GrafinTok," katanya.

Pembangunan GrafinTok membuktikan penyelidikan dalam bidang sains bahan bukan sekadar tertumpu kepada penerbitan akademik, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal untuk kegunaan industri dan masyarakat. 

Inovasi ini adalah hasil daripada penyelidikan UPM yang memberikan impak secara terus kepada pembangunan inovasi di dalam negara bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama inisiatif Festival Of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Must Watch Video

Advertisement