Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Microsoft tawar skim pemisahan sukarela kepada 60,000 pekerja

Tawaran tersebut antara yang terbesar dalam sejarah industri teknologi, melibatkan kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja global Microsoft ketika ini. -Gambar fail
Tawaran tersebut antara yang terbesar dalam sejarah industri teknologi, melibatkan kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja global Microsoft ketika ini. -Gambar fail

Advertisement

GERGASI teknologi global, Microsoft Corporation, secara rasmi menawarkan skim pemisahan sukarela (VEO) kepada kira-kira 60,000 pekerjanya di Amerika Syarikat, Kanada, India dan United Kingdom dalam usaha mengawal kos operasi syarikat.

Langkah itu diambil bagi mengimbangi pelaburan modal berskala besar yang diperuntukkan untuk pembangunan pusat data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) generasi baharu menjelang tahun hadapan, lapor Amanz.

Tawaran tersebut antara yang terbesar dalam sejarah industri teknologi, melibatkan kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja global Microsoft ketika ini.

Program VEO itu ditawarkan kepada pekerja yang layak dalam organisasi yang mengambil bahagian, melibatkan kakitangan pada tahap dalaman 70 dan ke bawah yang bertugas dalam unit seperti Copilot, kewangan, sumber manusia, Windows + Devices, Xbox serta Pengalaman AI.

Bagaimanapun, beberapa pasukan termasuk jualan, pemasaran dan fungsi kejuruteraan tertentu tidak terlibat dalam program berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia Microsoft, Amy Coleman, berkata menerusi memo dalaman bahawa VEO memberi pilihan kepada pekerja yang ingin meneruskan hala tuju kerjaya di luar syarikat dengan sokongan kewangan dan perancangan kerjaya yang bersesuaian.

Beliau berkata langkah itu turut memberi fleksibiliti kepada organisasi yang mengambil bahagian untuk menyesuaikan tenaga kerja mengikut keperluan semasa perniagaan.

Inisiatif tersebut hadir ketika Microsoft mengunjurkan perbelanjaan modal sebanyak AS$175 bilion (kira-kira RM822.5 bilion) bagi tahun kalendar 2026, sebahagian besarnya untuk memperkukuh infrastruktur AI dan pusat data.

Tawaran berkenaan merupakan gelombang kedua pengurangan tenaga kerja Microsoft tahun ini selepas syarikat itu memberhentikan kira-kira 4,800 pekerja pada Julai sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula perniagaan, termasuk operasi Xbox.

Must Watch Video

Advertisement