BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam parit di Kampung Rancangan Klias di sini pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 10 tahun sedang bermain bersama rakannya di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan mendapati mangsa bersama seorang rakannya pergi bermain di kawasan parit kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira satu kilometer di belakang rumahnya.
Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir ketika berjalan di tebing parit berikutan keadaan tanah yang licin selepas hujan sebelum terjatuh ke dalam air.
"Mangsa yang tidak pandai berenang sempat menjerit meminta pertolongan, namun rakannya gagal membantu kerana takut dan panik.
"Rakannya kemudian berlari memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang sedang bekerja di sebuah sekolah berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Champin berkata, bapa mangsa segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum terjun ke dalam parit bagi menyelamatkan anaknya.
"Ketika berada di dalam parit, bapa mangsa terpijak kaki anaknya sebelum segera menarik mangsa keluar dan membawanya ke tebing.
"Bapa mangsa cuba memberikan bantuan pernafasan, namun usahanya tidak berjaya," katanya.
Menurutnya, bapa mangsa kemudian membawa anaknya pulang ke rumah sebelum ambulans dari Hospital Beaufort tiba.
"Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
"Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati parit berkenaan baru sahaja dibersihkan dan didalamkan," katanya.
Beliau berkata, parit itu mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter, manakala kedalaman air dianggarkan sekitar dua meter.
"Paras air dipercayai meningkat disebabkan hujan ketika kejadian. Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Dalam pada itu, Champin menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing.
"Pastikan anak-anak tidak keluar bersendirian tanpa ditemani orang dewasa, terutama ketika berada di kawasan sungai atau kawasan berair," katanya. - Sinar Harian