Skip to main content

Malaysia

Ramai masih bujang bukan kerana memilih, tetapi belum bertemu pasangan sesuai

Sumber: Adobe Stock
Masih ramai individu bujang yang menjalani kehidupan bahagia kerana mempunyai sistem sokongan yang kukuh daripada keluarga dan rakan-rakan, selain hubungan spiritual yang baik serta matlamat hidup yang jelas. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR:

Individu yang masih bujang tidak semestinya memilih untuk hidup bersendirian. Sebaliknya, ada yang benar-benar ingin membina hubungan serius namun belum menemui pasangan yang sesuai.

Kaunselor Berdaftar, Lembaga Kaunselor Malaysia, Dr Azmawaty Mohamad Nor berkata keadaan itu dikenali sebagai involuntary singlehood, iaitu seseorang yang masih bujang bukan kerana pilihan sendiri.

Menurut beliau, tekanan emosi yang dialami golongan ini bukan berpunca daripada status bujang semata-mata, sebaliknya disebabkan jurang antara apa yang diinginkan dengan realiti yang dihadapi.

"Apabila seseorang benar-benar mahu berkahwin atau mempunyai pasangan, tetapi pelbagai usaha dilakukan masih tidak berhasil, lama-kelamaan mereka boleh berasa kecewa, hilang keyakinan diri dan mula mempersoalkan nilai diri," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan cara seseorang mentafsir keadaan tersebut memainkan peranan penting terhadap kesihatan mental.

Katanya, individu yang melihat status bujang sebagai peluang untuk terus mencari pasangan yang sesuai lebih cenderung mempunyai emosi yang stabil berbanding mereka yang menganggap diri tidak cukup baik atau gagal kerana masih belum berkahwin.

"Yang mendorong kepada kemurungan bukanlah status bujang itu sendiri, tetapi pemikiran negatif yang berterusan sehingga memberi tekanan kepada emosi," jelasnya dalam AWANI Pagi pada Rabu. 

Dr Azmawaty berkata masih ramai individu bujang yang menjalani kehidupan bahagia kerana mempunyai sistem sokongan yang kukuh daripada keluarga dan rakan-rakan, selain hubungan spiritual yang baik serta matlamat hidup yang jelas.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan individu yang masih bujang supaya tidak terus menyalahkan diri sendiri, sebaliknya terus membuka ruang untuk bertemu orang baharu dan membina hubungan secara sihat.

Beliau menegaskan pasangan bukanlah satu-satunya sumber kebahagiaan, namun usaha untuk mengenali lebih ramai orang dan membina hubungan baharu wajar diteruskan tanpa meletakkan tekanan yang berlebihan terhadap diri sendiri.

 
 

Must Watch Video

Advertisement