Skip to main content

Malaysia

Zachrin Jaafars angkat warisan Perak di KLFW 2026

Sumber: IG zachrinjaafars.official
Perjalanan sedekad bersama dengan tukang jahit, penyulam dan pembatik tempatan di Perak mengilhamkan Zachrin untuk mempersembahkan koleksi TITIPAN: Pertempuran Mendatang pada KLFW 2026, baru-baru ini. - Foto IG Zachrin
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beroperasi jauh dari ibu kota di Slim River, Perak tidak menghalang jenama fesyen Zachrin Jaafars membina nama hingga  peringkat antarabangsa dengan sokongan artisan dan komuniti tempatan.

Pereka dan Pengarah Kreatifnya Zachrin, atau nama sebenarnya Sazrin Jaafar, berkata perjalanan sedekad membangunkan jenama itu penuh dengan pahit manis, khususnya dalam usaha mengangkat karya artisan tempatan.

“Perjalanan ini merupakan satu pertempuran untuk saya mengangkat karya artisan di Perak, membentuk mereka dan membawa mereka bersama-sama bergerak ke hadapan.

“Kebanyakan ahli pasukan kami adalah komuniti setempat dan warga emas yang bekerja dari rumah, tetapi bersama-sama merekalah Zachrin Jaafars dapat berkembang hingga peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama. 

Perjalanan sedekad bersama-sama dengan tukang jahit, penyulam dan pembatik tempatan di negeri itu mengilhamkan beliau untuk mempersembahkan koleksi TITIPAN: Pertempuran Mendatang yang menampilkan 17 busana eksklusif pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, baru-baru ini.

Lulusan Universiti Teknologi MARA itu berkata kerjasama berkenaan bermula selepas beliau membuka perniagaan di Slim River pada 2016 dan melihat ramai penduduk setempat mahir menjahit, menyulam serta menghasilkan pakaian tradisional yang boleh dikembangkan menerusi rekaan kontemporari.

“Kami mempunyai idea dan kepakaran dalam rekaan, manakala mereka mempunyai kemahiran untuk menterjemahkannya. Daripada situ, kami membina sesuatu bersama-sama dan itulah yang akhirnya menguatkan identiti jenama ini,” katanya.

Zachrin berkata koleksi berkenaan menampilkan pelbagai elemen warisan Perak termasuk batik tanah liat yang dihasilkan pembatik dari Kampung Kepala Bendang di Kuala Kangsar, selain pengusaha di daerah Batang Padang dan Muallim, selaras dengan usaha kerajaan negeri mengetengahkan tekstil berkenaan.

 

 

Turut diketengahkan ialah seni tekat, motif bunga kelumpang, corak kelarai yang diinspirasikan daripada Istana Kenangan di Kuala Kangsar serta bentuk dan corak labu sayong bagi memperkenalkan kekayaan seni negeri itu yang autentik dalam bentuk moden.

“Selepas 10 tahun berada di Perak, saya rasa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan apa yang negeri ini miliki, selain membantu usahawan pembatik dan artisan tempatan mengetengahkan hasil kerja mereka,” katanya.

Bagi anak jati Perak ini, TITIPAN, melambangkan amanah untuk memelihara seni warisan dan kemahiran tradisional agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang, manakala Pertempuran Mendatang menggambarkan cabaran, ketabahan dan semangat yang diperlukan untuk mempertahankan warisan budaya dalam menghadapi masa depan.

Melengkapkan pertunjukan itu, Zachrin Jaafras mempersembahkan interpretasi kontemporari dabus, seni ritual dan tarian pahlawan tradisional Perak, sebagai simbol keberanian dan ketahanan dalam mendepani fasa baharu jenama berkenaan.

“Menerusi visual yang kami bawakan, dalam awan gelap itu masih ada kilat. Kilat tersebut membawa maksud kami bersedia untuk menghadapi pertempuran seterusnya. Ini bukan perjuangan saya seorang, tetapi perjuangan bersama-sama pasukan dan artisan yang telah membina jenama ini,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada langkah menghadapi fasa baharu itu, Zachrin berkata sebahagian operasi korporat jenama berkenaan kini berpusat di Kuala Lumpur bagi meluaskan pasaran, manakala butik dan bengkel di Slim River terus dikekalkan untuk menghasilkan kerja halus dan tempahan eksklusif.

 

 

“Walaupun bahan diperoleh di Kuala Lumpur, kami tetap membawanya kembali ke Perak untuk memastikan pasukan di sana menghasilkan kerja berkenaan. Itulah antara sebab pelanggan terus menyokong kami kerana produk yang dihasilkan benar-benar membawa seni, kemahiran dan identiti Perak,” katanya.

Zachrin yang juga pensyarah sambilan dalam bidang fesyen dan tekstil di Universiti Tun Abdul Razak berharap pendedahan menerusi KLFW dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali dan meneruskan kemahiran artisan tempatan.

“Kita mempunyai ramai adiguru yang menguasai seni tertentu, tetapi kekurangan generasi muda untuk menyambungnya. Saya berharap apabila warisan ini dipersembahkan dengan pendekatan moden, mereka akan tertarik untuk mengenali dan mempelajarinya,” katanya yang merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah sebagai usaha menyumbang ilmu kepada generasi baharu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement