ISTANBUL: Lebih separuh daripada populasi dewasa serta satu pertiga kanak-kanak, remaja dan golongan muda di seluruh dunia dijangka mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes menjelang 2050, menurut satu kajian terbaharu.

Anadolu Ajansi melaporkan unjuran itu dibuat dalam kajian global yang diterbitkan pada Isnin dalam jurnal perubatan The Lancet, yang menganalisis data dari lebih 200 negara.

Para penyelidik memberi amaran bahawa kadar obesiti dijangka meningkat dengan ketara sepanjang dekad ini, khususnya di negara berpendapatan rendah.

Sehingga 2021, hampir separuh populasi dewasa dunia - kira-kira 1 bilion lelaki dan 1.11 bilion wanita berusia 25 tahun ke atas - mengalami berat badan berlebihan atau obes.

Jika trend semasa berterusan, kadar global bagi individu dewasa yang mengalami masalah itu dijangka meningkat kepada 57.4 peratus bagi lelaki dan 60.3 peratus bagi wanita menjelang 2050, menurut kajian itu.

China, India dan AS dijangka mempunyai populasi individu dengan berat badan berlebihan atau obes terbesar menjelang 2050, katanya.

-- BERNAMA