Menurut Pengurus Besar Ibis Styles Kota Bharu, Zac Harun, nasi goreng yang disediakan oleh chef berpengalaman itu menggabungkan citarasa masakan Melayu tradisional dengan memasukkan bunga kantan, udang dan sotong sebelum dibungkus dalam daun teratai.
Katanya, aroma daun teratai yang unik akan terhasil dan membangkitkan selera pengunjung yang datang.
Beliau berkata, Nasi Goreng Teratai antara menu istimewa yang ditampilkan untuk bufet Ramadan bertemakan "Selera Ibis Styles" selain masakan tradisional lain antaranya , daging gulai kawah, kerutuk kambing, sup gearbox lembu, daging masak hitam, paru goreng berlada dan rendang ayam.
Selain menu tempatan yang mengekalkan ciri ciri masakan tradisional, menu Barat dan Asia Barat turut disajikan kepada pelanggan antaranya nasi beriani kambing panggang dan nasi Arab.
Zac berkata, kuih-muih tradisional seperti Jala Emas, Akok, Tahi Itik, bubur pulut hitam, Pengat dan Sira Labu akan turut menjadi penyeri dan pemanis mulut.
"Menu berkenaan sebahagian daripada 70 jenis masakan yang akan ditawarkan kepada orang ramai dan menu berkenaan akan sentiasa bertukar setiap hari selama tujuh hari.
"Ibis Styles Kota Bharu juga menawarkan harga bufet Ramadan berpatutan iaitu RM85 untuk dewasa, RM55 untuk warga emas dan RM45 untuk kanak-kanak dari usia enam hingga 12 tahun," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran bufet Ramadan Ibis Styles Hotel di sini.
Bagaiamanapun bagi pelanggan yang melakukan tempahan awal harga yang ditawarkan adalah RM65.
Beliau berkata, bufet Ramadan dibuka di Streats Cafe namun sekiranya ruang tersebut penuh, pihaknya akan membuka ruang bumbung terbuka dan ruang kolam renang di Skyview, aras 20.
"Kita ada ruang rooftop dan kolam renang yang boleh dibuka kepada pelanggan untuk berbuka puasa dengan bertemankan pemandangan sungai Kelantan, bandar Kota Bharu - sekiranya ruangan di Streats Cafe kami penuh," jelasnya.
Ibis Styles Kota Bharu turut menyediakan tempat solat bagi memudahkan pelanggan menunaikan solat maghrib.
Sebagai hotel yang turut menyumbang kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan, setiap RM1 daripada tempahan dan bayaran pelanggan akan disumbangkan ke tabung kebajikan untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan memerlukan.
