KUALA LUMPUR: Menjelang 1 Syawal yang bakal diraikan tidak sampai dua minggu lagi, teringat penulis akan zaman awal remaja kira-kira tiga dekad lalu, kerana pada tempoh inilah posmen akan datang ke rumah hampir setiap hari menghantar kad raya.
Boleh dikatakan posmen antara kelibat paling sibuk dalam tempoh itu.
Bertanya kepada si sulung penulis yang baru mencecah usia remaja, "Tak ada kad raya untuk ibu ke?"
Matanya terkebil-kebil memandang penulis. Riak wajahnya mencerminkan kebingungan, membuatkan penulis tergelak kecil, namun terdetik sedikit rasa kasihan di hati penulis. Begitulah nasib generasi yang dilahirkan dalam era ledakan teknologi komunikasi - bagi mereka semuanya secara maya, termasuklah kad ucapan yang diutus melalui platform media sosial.
Peluang untuk menerima kad yang cantik memaparkan pelbagai imej - masjid, ketupat nasi malah lakaran kartun - yang kemudian dijadikan hiasan rumah semasa raya, sudah hampir tidak wujud lagi buat mereka.
SEMAKIN DILUPAKAN
Meskipun begitu, tinjauan penulis di platform e-dagang mendapati masih ramai vendor yang menjual kad raya. Akan tetapi kebanyakan kad yang dijual adalah dalam bentuk mini, dan berdasarkan ulasan pembeli, rata-rata mendapatkan kad ucapan tersebut bagi dijadikan hiasan rumah semasa Aidilfitri.
Namun tidak dapat disangkal masih ada yang meneruskan tradisi mengirim kad raya, khususnya "orang lama". Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaporkan oleh media juga memilih berbuat demikian.
Dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, Sultan Ibrahim dilihat berkenan menandatangani 200 keping kad ucapan baru-baru ini.
"Seri Paduka amat gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional kerana ia lebih mengeratkan hubungan antara istana dan rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa," menurut hantaran itu.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan Pos Malaysia Berhad Fiona Liao, syarikat perkhidmatan kurier nasional tersebut sedang berusaha menghidupkan semula tradisi menghantar kad raya yang kini semakin dilupakan.
"Menghantar kad ucapan bersempena dengan perayaan merupakan satu warisan budaya yang dapat memupuk perhubungan erat sesama ahli masyarakat. Justeru, tradisi ini perlu dipupuk semula, terutama dalam kalangan kanak-kanak," katanya kepada Bernama.
Katanya lagi, sekalipun dari satu sudut penghantaran kad digital juga mampu menyampaikan mesej si pengirim, mengutus kad fizikal membawa makna yang lebih signifikan kerana usaha yang diambil seperti membeli kad, menulis dan mengepos kad itu menyerlahkan lagi ketulusan hati si pengirim.
"Matlamat Pos Malaysia dalam memperkenalkan semula tema mengirim kad raya adalah bagi menyemarakkan tradisi dan menghidupkan kembali nostalgia silam.
"Biarpun teknologi telah mengubah cara seseorang berkomunikasi, pemberian kad raya secara terus di antara pengirim dan penerima mampu membangkitkan rasa bermakna dan dihargai, selain mengukuhkan ikatan sesebuah komuniti," katanya.
"Walaupun teknologi menawarkan kemudahan, tiada apa yang lebih membahagiakan selain menerima kad raya daripada orang tersayang. Kami menyeru generasi masa kini mengekalkan tradisi ini dan terus menyuburkan rasa kegembiraan serta semangat muhibah melalui pertukaran kad raya," tambah beliau.
Liao berkata bersempena dengan sambutan Aidilfitri, Pos Malaysia turut mengeluarkan "Setem Ku" yang direka khas.
KEMBALIKAN NOSTALGIA
Bagi mengembalikan nostalgia sambutan Aidifitri era dahulu, sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor mengetengahkan hiasan raya "zaman dahulu" dengan gantungan kad raya memenuhi siling ruang legar premis, selain dekorasi ala suasana pekan pada era berkenaan.
Bagi generasi milenial seperti penulis, hiasan di Centre Court The Curve ini membawa ingatan sewaktu remaja dan keterujaan menyambut raya pada waktu itu.
Namun, yang paling menarik perhatian adalah binaan replika bangunan Pejabat Pos Bukit Rotan, iaitu pejabat pos tertua di negara ini.Terletak di Kuala Selangor, pejabat pos itu yang beroperasi sejak 1926, masih mengekalkan reka bentuk asal binaan yang didirikan hampir 100 tahun lalu.
Mengulas tentang tema "Kiriman Raya" yang diketengahkan oleh kompleks beli-belah milik Boustead Properties Berhad itu, Ketua Pegawai Operasi syarikat Jazmi Kamarudin berkata usaha tersebut diambil bagi memberi peluang kepada pengunjung pelbagai bangsa dan peringkat usia melalui pengalaman raya zaman dahulu.
"Tema ini bertujuan memupuk penghargaan terhadap budaya selain menyelami tradisi zaman dahulu di samping mengukuhkan persefahaman dan perpaduan kaum.
"Secara keseluruhan, tema ini dapat mengingatkan kita kepada tradisi dan nilai-nilai murni selain berada dalam suasana sambutan lebaran yang penuh bermakna," katanya kepada Bernama.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Pos Malaysia, yang menyaksikan perkhidmatan pos disediakan pada setiap hujung minggu, membolehkan pengunjung menghantar kad raya atau hadiah menerusi peti surat dan kotak kurier yang ditempatkan di situ.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang membeli-belah di bazar raya dan kedai retro yang berlangsung hingga 14 April ini.
Inisiatif yang diambil oleh The Curve turut menyaksikan kompleks beli-belah itu tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai pusat beli-belah mempamerkan kad raya terbanyak, iaitu 10,000 keping di negara ini.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Mar 30 2024
Kebiasaan mengirim kad raya semakin dilupakan, namun bagi mereka yang masih mahu memeriahkan suasana Aidilfitri, masih ada cara untuk menghidupkan tradisi itu. - Gambar hiasan/BERNAMA
Pengasuh didakwa aniaya bayi lelaki sehingga meninggal dunia
Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya bayi lelaki asuhannya berusia sembilan bulan sehingga meninggal dunia.
Lebih ramai rakyat Palestin ingin pulang susulan gencatan senjata Ahad lepas - Duta Palestin
Sebelum gencatan senjata itu, kira-kira 50 rakyat Palestin daripada keseluruhan 128 orang telah memohon untuk dihantar pulang.
Indonesia wajibkan pengeksport mendepositkan keseluruhan keuntungan eksport selama setahun
Ketetapan itu menggantikan peraturan semasa yang hanya mewajibkan deposit 30 peratus untuk tempoh minimum tiga bulan.
Suami reda pemergian isteri, sempat buat panggilan video sebelum lemas
Wanita yang lemas bersama anak saudaranya di Pantai Bayu Impian, Kota Tinggi semalam sempat membuat panggilan video bersama suaminya sebelum tragedi.
Sebahagian rangkaian jalur lebar 5G boleh dimanfaat pihak berkuasa - Fahmi
Rangkaian 5G mempunyai keupayaan menyediakan jalur lebar khusus untuk komunikasi tersulit diwujudkan demi manfaat organisasi agensi penguatkuasaan.
Angka korban meningkat kepada 19 susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Jawa Tengah
Tujuh lagi mangsa masih hilang, dan pasukan SAR terus berusaha mengesan mereka selepas tragedi itu melanda Kampung Kasimpar di Petungkriyono pada Isnin.
Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$115.5 bilion pada 15 Januari 2025
Paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.9 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Ibu tergamak pukul, cubit, tampar anak 6 tahun hingga maut
Seorang ibu yang tergamak memukul, mencubit dan menampar anak kandung lelakinya berusia enam tahun sehingga maut dihukum penjara tiga tahun.
Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran hotel di Turkiye - Wisma Putra
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam kebakaran di Hotel Grand Kartal, Pusat Peranginan Ski di Kartalkaya, Turkiye.
KOM perlu beri alasan kukuh tambah jurulatih - Jefri
MSN tidak boleh bertindak semberono meluluskan permohonan itu sekiranya tiada kepentingan untuk skuad olahraga negara.
Nostalgia kiriman kad raya pengganti diri
Menjelang 1 Syawal yang bakal diraikan tidak sampai dua minggu lagi, teringat penulis akan zaman awal remaja kira-kira tiga dekad lalu, kerana pada tempoh inilah posmen akan datang ke rumah hampir set