KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan elektrik dengan sentiasa memantau penggunaan tenaga di rumah serta memilih peralatan elektrik cekap tenaga dalam situasi kos penjanaan elektrik yang kian meningkat, menurut pakar.
Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Nik Hakimi Nik Ali berkata melalui pendekatan itu pengguna boleh menjimatkan bil elektrik serta dapat mengelak dikenakan caj Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) oleh syarikat pembekal elektrik.
"Kalau kita menggunakan kurang daripada 300 Kilowatt per jam (Kwh) untuk sebulan, kita tidak dikenakan caj KWTBB, syarikat pembekal elektrik akan kenakan caj kepada pengguna yang menggunakan 300 Kwh ke atas dan duit itu disalurkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia," katanya kepada Bernama.
Nik Hakimi juga menyarankan kepada masyarakat agar menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai kecekapan tenaga bertaraf lima bintang.
"Sebagai contoh barangan yang memerlukan banyak tenaga seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan pendingin hawa, walaupun harganya lebih mahal tetapi ia dapat menjimatkan bil elektrik kita setiap bulan.
"Dalam masa sama, pengguna juga boleh menukarkan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED).
"Kalau satu rumah kita menggunakan lampu tersebut ia akan memberi impak terhadap penggunaan bil bulanan," katanya.
Timbalan Dekan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Profesor Hazlie Mokhlis pula menyarankan para pengguna mengoptimumkan penggunaan peralatan elektrik di rumah agar penggunaannya lebih cekap tenaga.
"Kalau di rumah kita guna kipas, perlu sentiasa membersihkan (kipas) agar kita dapat nikmati penggunaan maksimum manakala bagi penggunaan mesin basuh pula, kita perlu menggunakan secara optimum dan kalau kita hendak gosok baju (seterika), kumpul baju dulu kemudian gosok semua sekali sebab apabila kita buka/tutup suis, ia melibatkan banyak tenaga," katanya.
Beliau menyarankan orang ramai sentiasa melakukan audit tenaga di rumah agar dapat melihat sendiri trend penggunaan harian dan bulanan menerusi aplikasi MyTNB yang dibangunkan oleh syarikat pembekal elektrik negara itu.
"Masyarakat juga boleh pantau bil elektrik ini menerusi aplikasi MyTNB dan melihat sendiri pola tenaga elektrik setiap bulan supaya dari situ pengguna tahu bagaimana untuk menjimatkan penggunaan elektrik dalam rumah," katanya.
Semalam, media melaporkan peningkatan harga bahan api fosil terdiri daripada arang batu, minyak dan gas asli dijangka mempengaruhi kenaikan kadar tarif elektrik sekali gus memberi kesan kepada Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia.
BACA: Kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielak, pertimbangkan subsidi bersasar - Ahli ekonomi
Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kadar tarif akan lebih tinggi untuk isi rumah memandangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini menghadapi kos pengeluaran tenaga yang tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.
Pada akhir tahun lepas, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengahan 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.
"TNB perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan bawah 40 (B40) berhubung tarif elektrik," kata Ahmed Razman.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan campur tangan dan memberikan subsidi untuk TNB dalam jangka pendek bagi memastikan pelanggan akhir tidak terbeban.
Menurutnya, TNB juga perlu mempelbagaikan sumber perolehan gas dan arang batu dan bagi tempoh jangka panjang, memberi tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biofuel.
TNB Fuel Services Sdn Bhd memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia tetapi Indonesia menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keperluan arang batu TNB.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jun 23 2022

Masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan elektrik dengan sentiasa memantau penggunaan tenaga di rumah serta memilih peralatan elektrik cekap tenaga dalam situasi kos penjanaan elektrik yang kian meningkat. -Gambar hiasan

Jabatan Kesihatan Melaka tingkat pemantauan, saringan langkah awal kekang kusta
"Setakat ini tiada kes dikesan dalam kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini melibatkan 14 perkampungan dengan lebih 2,000 penduduk."

Hubungan dua hala Bangladesh-Malaysia diperkukuh pada Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa
Ahsan menyifatkan Malaysia sebagai model keharmonian dalam kepelbagaian komuniti linguistik.

Teknologi robotik pacu sektor pelancongan kesihatan di Melaka
Upaya memacu sektor pelancongan kesihatan yang menjadi satu daripada subsektor penting dalam industri pelancongan negeri.

Penantian veteran ATM hampir dua tahun dapat rumah baharu berakhir
Shamsudin Hamzah terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rumah baharu kerana keadaan tanah di kawasan itu dari jenis gambut.

Sarawak hasrat bida tuan rumah World Robot Olympiad
Hasrat itu selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan pendidikan robotik serta STEM.

Ribut salji sebabkan gangguan meluas di Istanbul
Ribut itu membawa penurunan suhu yang ketara serta salji lebat, dengan keadaan paling buruk dilaporkan pada Jumaat.

164,000 kelapa tua dibawa masuk penuhi permintaan menjelang Ramadan, Aidilfitri
Angka itu merangkumi 82,000 kelapa yang tiba dari Sabah bulan ini, manakala 82,000 lagi dibawa masuk dari Kepulauan Palembang pada Mac depan.

46 warga Indonesia mangsa pemerdagangan dibawa pulang, termasuk bekas ahli DPRD
46 mangsa pemerdagangan manusia itu datang dari sembilan provinsi dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat.

Arab Saudi anjur sidang kemuncak pembinaan semula Gaza
Arab Saudi dijadual menganjurkan sidang kemuncak peringkat tinggi pada Jumaat bagi membincangkan usaha pembinaan semula Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kuda jatuh gaung berjaya diselamatkan
Anggota bomba di daerah Orange, California bertungkus lumus menyelamatkan seekor kuda yang terjatuh ke dalam gaung pada Jumaat.
Kuda berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dibawa naik menggunakan bantuan helikopter dari lokasi berbukit San Juan Capistrano.
Kuda berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dibawa naik menggunakan bantuan helikopter dari lokasi berbukit San Juan Capistrano.

Penjimatan elektrik: Berhemah, guna alat cekap tenaga - Pakar
Masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan elektrik dengan sentiasa memantau penggunaan tenaga di rumah.