Bertempat di The Yard, Sentul Depot, Kuala Lumpur, pada 8 Februari lalu, acara ini mentakrif semula batasan fesyen jalanan tempatan.
Diterajui oleh Muhammad Ashraf Khairul Anuar, atau lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar, anak muda berusia 25 tahun ini mencipta fenomena dalam dunia ‘streetwear’ dengan koleksi yang diberi judul "The Journey."
Koleksi ini bukan sekadar pameran fesyen tetapi lambang evolusi artistik dan ketekunan beliau dalam industri yang semakin mencabar.
Ashraf yang terkenal dengan sentuhan kreatifnya menyifatkan pertunjukan ini sebagai peralihan jenama SVG Worldwide ke era baharu.
Ia menegaskan identiti serta kebebasan kreatif yang tidak terikat dengan norma biasa fesyen jalanan.
Dengan pelaburan mencecah RM3 juta untuk produksi, pemasaran dan reka bentuk, pertunjukan kali ini adalah yang terbesar dan paling menawan pernah dianjurkan oleh SVG Worldwide.
Lebih 100 peragawan dan peragawati memperagakan koleksi tersebut, menjadikannya acara fesyen jalanan ‘solo’ terbesar dalam sejarah Malaysia.
Selain itu, satu ‘Pop-up store’ di Starhill yang bermula 9 hingga 16 Februari lalu pula menawarkan akses eksklusif kepada koleksi edisi terhad, memberi peluang kepada peminat fesyen untuk memiliki rekaan yang eksklusif.
Acara ini juga akan disiarkan secara langsung untuk tontonan umum, menjadikannya lebih inklusif kepada semua.

Kisah inspirasi Ashraf Anuar: Dari RM50 ke Legasi Fesyen
Sebagai mengimbas liku-liku perjalanan Ashraf Anuar, barangkali, ramai yang tidak tahu kegemilangan nama besar pereka itu bermula dengan hanya RM50 di tangan.
Pada usia 18 tahun, beliau memulakan langkah dalam fesyen dengan menjual pakaian terpakai sebelum mengambil risiko mencetak edisi pertama kemeja-T yang habis terjual dalam masa singkat.
Detik itu menjadi permulaan kepada lahirnya jenama SVG Worldwide yang kini bernilai lebih RM5 juta, bukan sahaja berjaya secara komersial malah menjadi ikon budaya fesyen jalanan.
Falsafah rekaan Ashraf berpusat pada gabungan ‘Streetwear’ dan penceritaan, menggabungkan elemen grafik yang rumit, ilusi tiga dimensi, dan tekstur yang eksperimental.
Pendekatan inovatif ini menjadikan SVG Worldwide terus relevan di peringkat antarabangsa.
Bukan sekadar estetika, Ashraf melihat fesyen sebagai medium untuk perbincangan budaya dan kesedaran sosial.
Dalam acara kali ini, persembahan istimewa oleh Faizal Tahir akan dipersembahkan sebagai penghormatan kepada Palestin, menunjukkan komitmen SVG Worldwide terhadap isu global melalui seni dan fesyen.
Pendekatan ini mencerminkan usaha Ashraf dalam menggabungkan fesyen dengan naratif sosial dan budaya yang mendalam, menjadikan jenamanya lebih daripada sekadar jenama pakaian.
Ashraf sebelum ini pernah mencipta sejarah dengan mengadakan pertunjukan fesyen di trek perlumbaan sepanjang 800 meter di Petronas Sepang International Circuit, menunjukkan keberaniannya mencabar norma industri.
Dengan menggabungkan budaya motorsport, estetika kontemporari, dan fesyen mewah, Ashraf muncul sebagai salah seorang pemikir kreatif paling dinamik di Malaysia.
Melalui "The Journey", Ashraf Anuar bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai pempengaruh dalam industri fesyen Malaysia, tetapi juga menetapkan penanda aras baharu bagi jenama fesyen ‘Streetwear’.
Dengan 100 peragawan dan peragawati serta pelaburan sebanyak RM3 juta, Ashraf membuktikan bahawa jenama tempatan mampu menyaingi kuasa besar fesyen antarabangsa.
Kejayaan ini dijangka memberi inspirasi kepada pereka lain untuk menganjurkan pertunjukan fesyen berskala mega, sekaligus mengangkat industri fesyen Malaysia ke peringkat global.
SVG Worldwide kini bukan sekadar jenama fesyen, tetapi gerakan kreatif yang didorong oleh keaslian, inovasi, dan visi artistik yang tidak berkompromi.
Ketika dunia fesyen menantikan perkembangan seterusnya dari SVG Worldwide, satu perkara pasti - ini baru permulaan kepada transformasi global fesyen ‘streetwear’ oleh Ashraf Anuar.
