Siapa sangka tabiat unik seekor kucingnya yang mendapat julukan 'adik' berjaya menambat hati hampir setengah juta pengikut di media sosial TikToknya.
Khairul Izwan, 28, yang mesra disapa Wan memberitahu, sebelum ini laksa yang dijual di sekitar rumahnya dekat Kampung Tanjung Lengkong, Selama hanya terjual beberapa bekas dalam sehari.
Bagaimanapun, setelah gandingannya dengan adik, ia mampu terjual sehingga 1,500 bekas dalam tempoh beberapa jam, kebiasaannya ketika dijual di karnival.
Menurutnya, bermula dari situ perniagaan keluarga yang menggunakan resipi lebih 20 tahun arwah ibunya itu dijenamakan sebagai Laksa Kacang by Adik Tidoq.
"Resipi dan perniagaan ini dari mak saya sejak 20 tahun lalu, berniaga di kampung sekitar kawasan rumah.
"Lama-kelamaan saya beranikan diri untuk berniaga di but kereta sertai karnival dan kemudian mula jelajah lebih 10 lokasi di bahagian utara Malaysia.
"Laksa ini mulai dikenali setelah saya ketengahkan salah seekor kucing yang tabiatnya gemar tidur sehingga ia ada pengikutnya tersendiri.
"Saya bela lebih 30 ekor kucing, namun aura adik lebih menyerlah dan saya tumpang rezeki kucing-kucing ini.
"Selalunya saya akan bawa adik ketika berniaga, bergantung kepada kuantiti laksa dan ruang di kereta. Di samping itu pengunjung boleh bergambar.
"Bila bersiaran langsung di TikTok dengan adik, tontonan luar biasa dan dari situ pengikut bagi cadangan supaya letak nama perniagaan sempena namanya," katanya ketika ditemui di karnival Jom Santai Klasik Moden, di sini.
Karnival yang berlangsung mulai 25 Januari hingga 2 Februari itu mengetengahkan lebih 80 gerai jualan.
Menyentuh keunikan resipi laksa, dia berkata, tambahan kacang tanah itu memberi rasa lemak dan rangup.
"Rasanya tiada lagi laksa yang dijual bersama kacang tanah, bila anda nikmati laksa ini pasti akan mengimbas kenangan waktu dulu-dulu.
"Segelintir orang suka makan laksa dengan keropok, tapi rakan saya beri cadangan untuk letak kacang dan ternyata memang sedap," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi.
Nor Nazira Zaiyan dari Teluk Intan berkata, dia selalu mengikuti siaran langsung Khairul Izwan dan tertarik dengan aksi kucing serta jualan laksa.
"Saya dan keluarga datang dari Teluk Intan untuk cuba laksa yang dijual di karnival ini, memang terhibur dengan gelagat adik di TikTok," katanya.
Sementara Shahrom Saari dari Station 18 pula mahu merasai keunikan laksa kacang tersebut.
"Kami sekeluarga memang minat dengan kandungan media sosialnya, hari ini datang beli dan bertemu sendiri dengan Khairul Izwan," katanya.
Pencinta kucing, Syed Zul Syed Abu Bakar dari Batu Gajah turut berkongsi kegembiraannya dapat bertemu empat mata dengan pempengaruh itu.
"Saya bela tiga ekor kucing di rumah, dalam masa sama suka makan laksa, kita datang beri sokongan kepadanya di sini," katanya.
Sasarannya selepas ini adalah untuk mewujudkan francais di samping membuka kafe berasaskan laksa yang turut menempatkan kucing bagi tontonan pelanggan.