Skip to main content

Dunia

40 tahun penjara buat ‘Keffe D’, dalang pembunuhan Tupac Shakur

Duane “Keffe D” Davis diiringi polis keluar dari prosiding hukuman selepas disabitkan kesalahan membunuh penyanyi rap Tupac Shakur, di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, pada Selasa, 13 Oktober 2026. - Gambar Reuters
Duane “Keffe D” Davis diiringi polis keluar dari prosiding hukuman selepas disabitkan kesalahan membunuh penyanyi rap Tupac Shakur, di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, pada Selasa, 13 Oktober 2026. - Gambar Reuters

Advertisement

LOS ANGELES: Bekas ketua geng Los Angeles, Duane “Keffe D” Davis dijatuhi hukuman penjara minimum 40 tahun pada Selasa selepas didapati bersalah mengarahkan pembunuhan penyanyi rap terkenal, Tupac Shakur, tiga dekad lalu.

Davis, 63, sebelum ini berulang kali mendakwa terbabit dalam pembunuhan itu, termasuk menerusi memoirnya, sebelum menafikan penglibatannya ketika dibicarakan.

Hukuman tersebut berkemungkinan menyebabkan Davis menghabiskan sisa hidupnya di penjara, sekali gus menutup satu lagi bab dalam kes pembunuhan antara yang paling terkenal dalam sejarah industri muzik Amerika Syarikat.

Davis sebelum ini mengetuai satu cabang kumpulan Crips, antara geng yang menguasai beberapa kawasan di Los Angeles pada era 1990-an.

Dia berjaya mengelak daripada tindakan undang-undang selama bertahun-tahun dan dipercayai merasakan dirinya tidak lagi dapat didakwa apabila menulis dalam memoir bahawa dia mengarahkan pembunuhan Shakur.

Ketika menjatuhkan hukuman di sebuah mahkamah di Las Vegas, Hakim Carli Kierny menegaskan seseorang tidak boleh merampas nyawa individu lain dan kemudian meneruskan kehidupan seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

“Selama tiga tahun, saya mendengar anda menyatakan pelbagai versi perkara sama kepada pihak penguat kuasa... dalam buku anda, dan lebih kurang begini, ‘Ya, saya terlibat, tetapi saya sudah berubah. Saya sudah meneruskan kehidupan. Saya meninggalkan Compton. Saya kini seorang datuk.’

“Saya ingin memberitahu anda bahawa bukan begitu caranya.

“Anda tidak boleh merampas seorang lelaki daripada keluarganya. Anda tidak boleh merampas nyawanya, seluruh masa depannya, kemudian berlalu begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu ialah Tupac Shakur,” katanya.

Shakur merupakan antara tokoh utama dalam perseteruan dunia hip-hop antara Pantai Timur dan Pantai Barat Amerika Syarikat ketika itu.

Dia baru berusia 25 tahun ketika ditembak di Las Vegas.

Mahkamah sebelum ini diberitahu Davis mengarahkan pembunuhan Shakur pada 7 September 1996 selepas anak saudaranya dipukul anggota rombongan penyanyi rap itu di sebuah kasino di Las Vegas.

Kira-kira dua jam selepas insiden berkenaan, Shakur yang berada di dalam sebuah BMW ditembak oleh penyerang dari sebuah Cadillac putih yang berhenti bersebelahan kenderaannya di lampu isyarat merah.

Davis didakwa menyerahkan senjata kepada individu yang duduk di bahagian belakang Cadillac berkenaan sebelum mengarahkannya menembak Shakur.

Shakur meninggal dunia enam hari kemudian akibat kecederaan dialaminya.

Identiti individu yang melepaskan tembakan itu tidak pernah dikenal pasti secara muktamad, manakala Davis merupakan satu-satunya individu yang berada di dalam Cadillac tersebut pada malam kejadian yang masih hidup.

Pemandu BMW dinaiki Shakur, pengasas bersama Death Row Records, Marion “Suge” Knight turut cedera dalam serangan itu.

“Dilahirkan sebagai ikon”

Pembunuhan Shakur, yang turut dikenali sebagai 2Pac, kekal sebagai antara kes tidak selesai paling terkenal di Amerika Syarikat selama bertahun-tahun dan mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminat muzik mengenai identiti pembunuh serta motif kejadian.

Shakur yang terkenal menerusi lagu antaranya All Eyez on Me merupakan anak kepada seorang aktivis Black Panther.

Dia dibesarkan di Harlem dan Baltimore sebelum muncul sebagai antara figura penting hip-hop California selepas menyertai Death Row Records yang berpangkalan di Los Angeles.

Adiknya, Sekyiwa Shakur menyampaikan penghormatan penuh emosi kepada mendiang pada Selasa dengan menyifatkan abangnya sebagai seorang yang “dilahirkan sebagai ikon.”

Menurut Sekyiwa, ibu mereka membesarkan Shakur untuk menjadi seorang aktivis hak asasi manusia dan individu yang berani mempertahankan mereka yang lemah.

“Dia mendedikasikan kerjayanya untuk memperjuangkan kemajuan kaumnya. Dia seorang yang lembut dan baik terhadap wanita serta kanak-kanak.

“Dia memberi makan kepada sesiapa sahaja yang dikenalinya yang tidak mempunyai makanan. Dia benar-benar bintang yang menyinari hidup saya, putera saya. Dialah insan yang dipercayai Tuhan untuk menjaga saya,” katanya.

Davis pula tidak menyatakan sebarang kekesalan sebelum hukuman dijatuhkan dan hanya berikrar akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan bersalah itu. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement